727 - *AKTA JURUANALISIS MAKANAN 2011
This Act creates the Malaysian Food Analysts Council, sets up registration for food analysts, and restricts food-analysis practice to registered persons with a valid annual practising certificate.
AI-assisted research synopsis — verify against the official legal text below.
- Jurisdiction
- Malaysia
- Instrument
- Act or statute
- Version
- Undated source snapshot
- Language
- en
- Official source
- View official record ↗
Statute overview
About this statute
This page preserves the statute’s identified version, provision structure, official source link, and stored legal text for reading and research.
Search within this statute
Search all stored provisions in this version.
Legal text
Provisions of 727 - *AKTA JURUANALISIS MAKANAN 2011
Showing 1 of 1
- § Verify source ↗
727 - *AKTA JURUANALISIS MAKANAN 2011
AI-assisted research summary: This Act creates the Malaysian Food Analysts Council, sets up registration for food analysts, and restricts food-analysis practice to registered persons with a valid annual practising certificate.
UNDANG-UNDANG MALAYSIA VERSI DALAM TALIAN TEKS CETAKAN SEMULA YANG KEMAS KINI Akta 727 AKTA JURUANALISIS MAKANAN 2011 Sebagaimana pada 1 Jun 2015 2 AKTA JURUANALISIS MAKANAN 2011 Tarikh Perkenan Diraja … … … … 23 Mei 2011 Tarikh penyiaran dalam Warta … … … 2 Jun 2011 3 UNDANG-UNDANG MALAYSIA Akta 727 AKTA JURUANALISIS MAKANAN 2011 SUSUNAN SEKSYEN BAHAGIAN I PERMULAAN Seksyen 1. Tajuk ringkas dan permulaan kuat kuasa 2. Tafsiran 3. Ketidakpakaian BAHAGIAN II MAJLIS JURUANALISIS MAKANAN MALAYSIA 4. Penubuhan Majlis 5. Fungsi dan kuasa Majlis 6. Meterai perbadanan 7. Keanggotaan Majlis 8. Tempoh jawatan 9. Elaun 10. Pengosongan jawatan 11. Mesyuarat Majlis 12. Tatacara mesyuarat 13. Jawatankuasa 14. Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948 15. Pekhidmat awam 4 Undang-Undang Malaysia AKTA 727 BAHAGIAN III PENDAFTARAN JURUANALISIS MAKANAN Seksyen 16. Pendaftar 17. Daftar 18. Permohonan bagi pendaftaran 19. Cara pendaftaran 20. Perakuan amalan tahunan 21. Pembaharuan perakuan amalan tahunan 22. Pematuhan dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh Majlis BAHAGIAN IV TATATERTIB 23. Bidang kuasa tatatertib Majlis 24. Siasatan 25. Hukuman tatatertib 26. Penyerahan perakuan pendaftaran dan perakuan amalan tahunan 27. Pemotongan nama oleh sebab kelemahan fizikal atau mental 28. Perubahan pada Daftar 29. Kemasukan semula nama dalam Daftar 30. Rayuan BAHAGIAN V ANALISIS MAKANAN 31. Juruanalisis makanan berdaftar boleh mengeluarkan laporan analisis makanan 32. Menjalankan amalan tanpa perakuan amalan tahunan Juruanalisis Makanan 5 BAHAGIAN VI AM Seksyen 33. Pendaftaran secara fraud 34. Kesalahan menyamar, mengemukakan diri, dsb., sebagai seorang juruanalisis makanan berdaftar 35. Penalti am 36. Kesalahan yang dilakukan oleh pertubuhan perbadanan 37. Pelantikan pegawai diberi kuasa 38. Kuasa untuk memasuki premis, memeriksa dan menyita dokumen, dsb. 39. Capaian kepada data berkomputer 40. Kuasa untuk menghendaki kehadiran orang yang mempunyai pengetahuan tentang kes 41. Pemeriksaan orang yang mempunyai pengetahuan tentang kes 42. Kebolehterimaan pernyataan sebagai keterangan 43. Pengkompaunan kesalahan 44. Pemulaan pendakwaan 45. Pelantikan penasihat undang-undang 46. Kuasa Menteri untuk mengecualikan 47. Kuasa untuk membuat peraturan-peraturan 48. Peruntukan peralihan 7 UNDANG-UNDANG MALAYSIA Akta 727 AKTA JURUANALISIS MAKANAN 2011 Suatu Akta untuk mengadakan peruntukan bagi penubuhan Majlis Juruanalisis Makanan Malaysia, untuk mengadakan peruntukan bagi pendaftaran orang yang menjalankan amalan sebagai juruanalisis makanan dan untuk mengawal selia amalan juruanalisis makanan dan bagi perkara-perkara yang berkaitan dengannya. [15 Mac 2014, P.U. (B) 75/2013] DIPERBUAT oleh Parlimen Malaysia seperti yang berikut: BAHAGIAN I PERMULAAN Tajuk ringkas dan permulaan kuat kuasa 1. (1) Akta ini bolehlah dinamakan Akta Juruanalisis Makanan 2011. (2) Akta ini mula berkuat kuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Menteri melalui pemberitahuan dalam Warta. Tafsiran 2. Dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain— “agensi berkaitan makanan kerajaan” ertinya sesuatu agensi kerajaan yang terlibat dalam menjalankan analisis makanan; 8 Undang-Undang Malaysia AKTA 727 “ahli kimia berdaftar” ertinya seseorang yang didaftarkan di bawah Akta Ahli Kimia 1975 [Akta 158]; “analisis makanan” ertinya pemeriksaan terperinci makanan yang termasuklah penilaian fizikal, mikrobiologi, kimia, biokimia, bioteknologi, toksikologi atau deria makanan dan pemeriksaan itu boleh termasuk pemeriksaan bungkusan, bahan pembungkusan dan bekas; “bungkusan” ertinya apa-apa benda yang dalamnya atau apa-apa cara yang dengannya makanan dikotak, ditutup, dimasukkan, diisi, diletakkan atau selainnya dipekkan dengan apa jua cara keseluruhannya atau sebahagiannya dan termasuklah apa-apa jenis bakul, baldi, dulang atau bekas sama ada terbuka atau tertutup; “Daftar” ertinya daftar yang disimpan atau disenggara mengikut seksyen 17; “ditetapkan” ertinya ditetapkan oleh Menteri melalui peraturan- peraturan; “institusi pendidikan tinggi” ertinya institusi pendidikan yang menyediakan pendidikan tinggi yang membawa kepada penganugerahan suatu diploma, ijazah atau yang setaraf dengannya; “juruanalisis makanan berdaftar” ertinya seseorang yang menjalankan analisis makanan dan didaftarkan di bawah seksyen 19; “Ketua Pengarah” ertinya Ketua Pengarah Kesihatan, Malaysia; “Majlis” ertinya Majlis Juruanalisis Makanan Malaysia yang ditubuhkan di bawah seksyen 4; “makanan” mempunyai erti yang diberikan kepadanya di bawah Akta Makanan 1983 [Akta 281]; “Menteri” ertinya Menteri yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi kesihatan; Juruanalisis Makanan 9 “pegawai diberi kuasa” ertinya seseorang yang dilantik oleh Menteri sebagai seorang pegawai diberi kuasa di bawah seksyen 37; “Pendaftar” ertinya Pendaftar yang disebut dalam seksyen 16; “Setiausaha” ertinya Setiausaha Majlis Juruanalisis Makanan Malaysia yang dilantik di bawah seksyen 7. Ketidakpakaian 3. Akta ini tidaklah terpakai bagi ahli kimia yang didaftarkan di bawah Akta Ahli Kimia 1975. BAHAGIAN II MAJLIS JURUANALISIS MAKANAN MALAYSIA Penubuhan Majlis 4. (1) Suatu pertubuhan perbadanan dengan nama “Majlis Juruanalisis Makanan Malaysia” ditubuhkan. (2) Majlis hendaklah kekal turun-temurun dan mempunyai meterai perbadanan dan boleh membawa guaman dan dibawa guaman terhadapnya atas namanya Fungsi dan kuasa Majlis 5. (1) Majlis hendaklah mempunyai fungsi yang berikut: (a) untuk melaksanakan kewajipan dan fungsi dan menjalankan kuasa yang diperuntukkan dalam Akta ini; 10 Undang-Undang Malaysia AKTA 727 (b) untuk menentukan dan mengawal selia kelakuan dan etika profesional juruanalisis makanan dan untuk mengeluarkan kod etika bagi juruanalisis makanan; (c) untuk menentukan skala fi yang akan dikenakan oleh juruanalisis makanan berdaftar bagi perkhidmatan yang diberikan; (d) untuk mendengar dan menentukan pertikaian yang berhubungan dengan kelakuan atau etika professional juruanalisis makanan berdaftar dan untuk menubuhkan jawatankuasa atau melantik penimbang tara untuk mendengar dan menentukan pertikaian itu; (e) untuk menjalankan peperiksaan dengan kerjasama Institut Teknologi Makanan Malaysia bagi penerimaan masuk ke dalam profesion analisis makanan; (f) untuk mengadakan atau menyebabkan supaya diadakan program pembangunan profesional bagi juruanalisis makanan berdaftar untuk meningkatkan pengetahuan mereka dalam perkembangan terkini berhubung dengan amalan analisis makanan; (g) untuk mengeluarkan garis panduan bagi menentukan tatacara dan kaedah ujian analisis makanan; dan (h) untuk melakukan apa-apa benda lain yang difikirkannya patut untuk membolehkannya melaksanakan fungsinya dengan berkesan atau yang bersampingan dengan pelaksanaan fungsinya. (2) Majlis hendaklah mempunyai segala kuasa yang perlu bagi, atau berkaitan dengan, atau yang semunasabahnya bersampingan dengan, pelaksanaan fungsinya di bawah subseksyen (1). Juruanalisis Makanan 11 (3) Majlis tidak boleh meminjam atau mendapatkan wang dengan apa-apa cara tanpa terlebih dahulu mendapatkan kelulusan Menteri dan Menteri Kewangan. Meterai perbadanan 6. (1) Majlis hendaklah mempunyai suatu meterai perbadanan yang hendaklah mengandungi suatu peranti yang diluluskan oleh Majlis. (2) Meterai perbadanan itu boleh dipecahkan, ditukar, diubah dan dibuat baru sebagaimana yang difikirkan patut oleh Majlis. (3) Sehingga suatu meterai diadakan oleh Majlis, suatu cap yang mengandungi perkataan “Majlis Juruanalisis Makanan Malaysia” bolehlah digunakan dan hendaklah disifatkan sebagai meterai perbadanan Majlis. (4) Meterai perbadanan itu hendaklah disimpan dalam jagaan Pengerusi atau seorang anggota Majlis. (5) Meterai perbadanan itu hendaklah dicapkan di hadapan mana-mana dua anggota Majlis yang ditetapkan dan anggota itu hendaklah menandatangani tiap-tiap surat ikatan, dokumen atau surat cara lain yang padanya meterai perbadanan itu dicapkan. (6) Segala surat ikatan, dokumen atau surat cara lain yang berupa sebagai dimeteraikan dengan meterai perbadanan itu dan disahkan sebagaimana yang ditetapkan dalam subseksyen (5) hendaklah, sehingga dibuktikan sebaliknya, disifatkan telah disempurnakan dengan sah. (7) Meterai perbadanan Majlis hendaklah diberi pengiktirafan rasmi dan kehakiman. 12 Undang-Undang Malaysia AKTA 727 Keanggotaan Majlis 7. (1) Majlis hendaklah terdiri daripada anggota yang berikut: (a) Ketua Pengarah yang hendaklah menjadi Pengerusi; (b) Pengarah Kanan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia yang hendaklah menjadi Timbalan Pengerusi; (c) dua orang juruanalisis makanan berdaftar daripada sektor swasta yang dilantik oleh Menteri, yang salah seorang daripada mereka hendaklah seorang anggota Institut Teknologi Makanan Malaysia; (d) dua orang juruanalisis makanan berdaftar yang disyorkan oleh Institut Teknologi Makanan Malaysia daripada kalangan anggotanya dan dilantik oleh Menteri; (e) dua orang ahli sains makanan yang digaji oleh institusi pendidikan tinggi yang menawarkan ijazah dalam sains makanan atau teknologi makanan atau sains dan teknologi makanan, yang hendaklah dilantik oleh Menteri; dan (f) tiga orang wakil daripada suatu agensi kerajaan yang berkaitan dengan makanan yang dilantik oleh Menteri. (2) Pengerusi hendaklah, dengan kelulusan Menteri, melantik seorang pegawai Kementerian Kesihatan untuk menjadi Setiausaha Majlis. (3) Jika Pengerusi tidak dapat menjalankan fungsinya di bawah Akta ini disebabkan sakit, tidak berada di Malaysia atau kerana apa- apa sebab lain, fungsinya hendaklah dijalankan oleh Timbalan Pengerusi. (4) Pengerusi boleh mewakilkan kepada Timbalan Pengerusi mana-mana kuasanya, dan apabila diwakilkan sedemikian kuasa itu Juruanalisis Makanan 13 hendaklah dijalankan oleh Timbalan Pengerusi di bawah kawalan dan tertakluk kepada apa-apa arahan dan sekatan sebagaimana yang ditetapkan oleh Pengerusi. Tempoh jawatan 8. (1) Seseorang anggota yang dilantik atau dipilih di bawah perenggan 7(1)(c) hingga (f) hendaklah memegang jawatan bagi tempoh yang tidak melebihi tiga tahun. (2) Seseorang anggota yang dilantik atau dipilih di bawah perenggan 7(1)(c) hingga (f) adalah layak untuk dilantik semula tetapi anggota itu tidak boleh memegang jawatan lebih daripada dua tempoh berturut-turut. (3) Jika jawatan seseorang anggota menjadi kosong sebelum habis tempoh jawatannya, orang yang dilantik untuk mengisi kekosongan itu hendaklah memegang jawatan itu bagi baki tempoh jawatan anggota yang jawatannya telah menjadi kosong itu. Elaun 9. Semua anggota Majlis hendaklah dibayar apa-apa elaun pada kadar yang ditentukan oleh Menteri. Pengosongan jawatan 10. Jawatan seseorang anggota Majlis disifatkan telah dikosongkan jika— (a) dia mati; (b) pelantikannya ditamatkan; (c) dia menjadi bankrap; 14 Undang-Undang Malaysia AKTA 727 (d) dia tidak sempurna akal; (e) telah dibuktikan terhadapnya, atau dia telah disabitkan atas, suatu pertuduhan berkenaan dengan— (i) suatu kesalahan yang melibatkan fraud, kecurangan atau keburukan akhlak; (ii) suatu kesalahan di bawah mana-mana undang- undang yang berhubungan dengan rasuah; atau (iii) apa-apa kesalahan lain yang boleh dihukum dengan pemenjaraan (pemenjaraan sahaja atau sebagai tambahan kepada atau sebagai ganti denda) selama lebih daripada dua tahun; (f) peletakan jawatannya diterima oleh Menteri; (g) dia tidak menghadiri mesyuarat Majlis tiga kali berturut- turut tanpa kebenaran Majlis; atau (h) dalam hal seseorang anggota yang dilantik di bawah perenggan 7(1)(c) atau (d), dia tidak lagi menjadi juruanalisis makanan berdaftar. Mesyuarat Majlis 11. (1) Suatu mesyuarat Majlis hendaklah diadakan oleh Pengerusi melalui notis bertulis kepada anggota lain dan mesyuarat itu hendaklah diadakan pada masa dan di tempat yang ditetapkan dalam notis itu. (2) Majlis hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam empat bulan. Juruanalisis Makanan 15 Tatacara mesyuarat 12. (1) Pengerusi hendaklah mempengerusikan semua mesyuarat Majlis. (2) Jika Pengerusi tidak hadir dalam mana-mana mesyuarat Majlis, Timbalan Pengerusi hendaklah mempengerusikan mesyuarat. (3) Pengerusi atau Timbalan Pengerusi, apabila mempengerusikan mesyuarat, hendaklah mempunyai suatu undi pemutus. (4) Tujuh orang anggota hendaklah membentuk kuorum sesuatu mesyuarat Majlis. (5) Semua soalan di hadapan mesyuarat Majlis hendaklah diputuskan melalui majoriti biasa anggota yang hadir dan mengundi. (6) Majlis boleh menentukan tatacaranya sendiri. Jawatankuasa 13. (1) Majlis boleh menubuhkan jawatankuasa untuk membantunya dalam menjalankan fungsinya di bawah Akta ini. (2) Majlis boleh melantik mana-mana orang untuk menjadi anggota mana-mana jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah subseksyen (1). (3) Jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah seksyen ini boleh memilih mana-mana anggotanya sebagai pengerusi dan boleh mengawal selia tatacaranya sendiri dan, dalam menjalankan fungsinya di bawah subseksyen ini, jawatankuasa itu hendaklah tertakluk kepada dan bertindak mengikut apa-apa arahan yang diberikan kepada jawatankuasa itu oleh Majlis. (4) Majlis boleh pada bila-bila masa membatalkan pelantikan mana-mana anggota jawatankuasa. 16 Undang-Undang Malaysia AKTA 727 Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948 14. Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948 [Akta 198] hendaklah terpakai bagi apa-apa tindakan, guaman, pendakwaan atau prosiding terhadap Majlis atau terhadap mana-mana anggota atau ejen Majlis berkenaan dengan apa-apa perbuatan, keabaian atau keingkaran yang dibuat atau ditinggalkan olehnya atas sifat sedemikian. Pekhidmat awam 15. Tiap-tiap anggota Majlis, semasa menunaikan kewajipannya sebagai anggota, hendaklah disifatkan sebagai seorang pekhidmat awam dalam pengertian Kanun Keseksaan [Akta 574]. BAHAGIAN III PENDAFTARAN JURUANALISIS MAKANAN Pendaftar 16. Bagi maksud Akta ini, Pengarah Kanan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia hendaklah menjadi Pendaftar. Daftar 17. (1) Pendaftar hendaklah menyebabkan supaya disimpan dalam bentuk yang ditetapkan suatu daftar juruanalisis makanan yang hendaklah dikenali sebagai Daftar Juruanalisis Makanan (2) Pendaftar hendaklah bertanggungjawab bagi penyenggaraan dan penjagaan Daftar. (3) Daftar hendaklah dianggap sebagai dokumen awam dalam pengertian Akta Keterangan 1950 [Akta 56]. Juruanalisis Makanan 17 (4) Suatu perakuan yang ditandatangani oleh Pendaftar bahawa mana-mana orang — (a) didaftarkan atau tidak didaftarkan di bawah Akta ini; atau (b) telah didaftarkan atau tidak pada bila-bila masa didaftarkan di bawah Akta ini, hendaklah menjadi keterangan muktamad mengenai perkara yang disebut dalamnya. Permohonan bagi pendaftaran 18. (1) Tiada seorang pun boleh didaftarkan sebagai juruanalisis makanan di bawah Akta ini melainkan jika — (a) dia memegang— (i) ijazah dalam sains makanan atau teknologi makanan atau sains dan teknologi makanan daripada manamana institusi pendidikan tinggi yang diluluskan oleh Majlis; atau (ii) apa-apa ijazah lain dalam sains dalam apa-apa bidang yang berkaitan yang diluluskan oleh Majlis; (b) dia mengemukakan kepada Majlis keterangan yang memuaskan hati Majlis— (i) bahawa dia telah dipilih untuk bekerja di bawah penyeliaan mana-mana juruanalisis makanan berdaftar atau ahli kimia berdaftar; atau (ii) bahawa dia mempunyai dua tahun pengalaman bekerja dalam analisis makanan jika dia memegang ijazah dalam sains makanan atau teknologi makanan atau sains dan teknologi 18 Undang-Undang Malaysia AKTA 727 makanan, atau empat tahun pengalaman bekerja dalam analisis makanan jika dia memegang apa- apa ijazah dalam sains dalam apa-apa bidang yang berkaitan; dan (c) dia tidak kurang dari umur lapan belas tahun. (2) Suatu permohonan bagi pendaftaran hendaklah dibuat kepada Majlis dalam borang yang ditetapkan. Cara pendaftaran 19. (1) Pendaftaran di bawah Akta ini hendaklah dilaksanakan dengan mencatatkan dalam Daftar butir-butir pemohon sebagaimana yang ditetapkan apabila fi yang ditetapkan dibayar. (2) Jika seseorang didaftarkan di bawah Akta ini, Majlis hendaklah menyebabkan supaya dikeluarkan kepadanya suatu perakuan pendaftaran yang ditandatangani oleh Pengerusi. Perakuan amalan tahunan 20. (1) Seseorang juruanalisis makanan berdaftar yang berniat untuk menjalankan amalan sebagai seorang juruanalisis makanan boleh membuat permohonan kepada Pendaftar dalam borang yang ditetapkan dan membayar fi yang ditetapkan bagi suatu perakuan untuk menjalankan amalan sebagai seorang juruanalisis makanan. (2) Apabila diterima permohonan itu dan bayaran yang ditetapkan dalam subseksyen (1), Pendaftar boleh, atas kelulusan, mengeluarkan kepada juruanalisis makanan berdaftar itu suatu perakuan amalan tahunan dalam borang yang ditetapkan, memberi kuasa juruanalisis makanan berdaftar itu untuk menjalankan amalan sebagai seorang juruanalisis makanan dalam tahun yang baginya perakuan itu dikeluarkan. Juruanalisis Makanan 19 (3) Suatu perakuan oleh Pendaftar bahawa mana-mana orang— (a) ialah atau bukan pemegang perakuan amalan tahunan; atau (b) telah atau bukan pada bila-bila masa seorang pemegang perakuan amalan tahunan, hendaklah menjadi keterangan muktamad mengenai perkara yang disebut dalamnya. Pembaharuan perakuan amalan tahunan 21. (1) Permohonan bagi pembaharuan perakuan amalan tahunan hendaklah dibuat kepada Pendaftar tidak kurang daripada tiga puluh hari sebelum tarikh habis tempoh dalam borang yang ditetapkan dan apabila fi yang ditetapkan dibayar. (2) Jika Pendaftar meluluskan permohonan itu, Pendaftar hendaklah mengeluarkan kepada juruanalisis berdaftar itu suatu perakuan amalan tahunan dalam borang yang ditetapkan memberi kuasa juruanalisis makanan berdaftar itu untuk menjalankan amalan sebagai seorang juruanalisis makanan dalam tahun yang baginya perakuan itu dikeluarkan. Pematuhan dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh Majlis 22. (1) Seseorang juruanalisis makanan berdaftar hendaklah mematuhi semua garis panduan yang dikeluarkan oleh Majlis. (2) Seseorang juruanalisis makanan berdaftar yang tidak mematuhi peruntukan subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan. 20 Undang-Undang Malaysia AKTA 727 BAHAGIAN IV TATATERTIB Bidang kuasa tatatertib Majlis 23. (1) Majlis hendaklah mempunyai kuasa tatatertib ke atas juruanalisis makanan berdaftar. (2) Majlis boleh menjalankan kuasa tatatertib ke atas mana- mana juruanalisis makanan berdaftar — (a) yang pendaftarannya telah diperoleh dengan cara fraud atau salah nyataan; (b) yang ijazahnya telah ditarik balik atau dibatalkan oleh universiti, kolej atau badan yang olehnya ijazah itu dikurniakan; (c) yang telah disabitkan oleh mahkamah di Malaysia atau di tempat lain bagi apa-apa kesalahan yang melibatkan fraud, kecurangan atau keburukan akhlak atau yang telah dihukum dengan pemenjaraan (sama ada pemenjaraan sahaja, atau sebagai tambahan kepada atau sebagai ganti denda); (d) yang pada masa pendaftarannya tidak layak untuk didaftarkan; (e) yang didapati oleh Majlis telah melanggar Akta ini atau peraturan-peraturannya; atau (f) yang telah tidak menunaikan kewajipan profesionalnya dengan kemahiran, ketelitian dan ketekunan yang sewajarnya. Juruanalisis Makanan 21 Siasatan 24. (1) Majlis hendaklah menubuhkan suatu Jawatankuasa Tatatertib untuk mengadakan siasatan ke atas apa-apa perkara tatatertib. (2) Dalam menjalankan siasatan, Jawatankuasa Tatatertib tidaklah terikat dengan peruntukan Akta Keterangan 1950 atau oleh mana-mana tatacara perundangan tetapi boleh menjalankan siasatan mengikut cara yang difikirkannya sesuai. (3) Majlis boleh menggantung secara sementara pendaftaran seseorang juruanalisis makanan berdaftar sementara menunggu keputusan Majlis tentang keputusan apa-apa siasatan atau pelupusan apa-apa rayuan. Hukuman tatatertib 25. (1) Majlis boleh, dalam menjalankan kuasa tatatertibnya, mengenakan mana-mana hukuman yang berikut: (a) memerintahkan supaya juruanalisis makanan berdaftar itu dicela secara bertulis; (b) memerintahkan supaya nama juruanalisis makanan berdaftar itu digantung dari Daftar dan menggantung perakuan amalan tahunan bagi apa-apa tempoh yang difikirkannya patut; atau (c) memerintahkan supaya nama juruanalisis makanan berdaftar dipotong dari Daftar dan menggantung perakuan amalan tahunan bagi apa-apa tempoh yang difikirkannya patut. (2) Majlis boleh, dalam mana-mana hal, membuat apa-apa perintah yang difikirkannya patut berkaitan dengan pembayaran kos yang dilakukan oleh Pendaftar, mana-mana pengadu atau juruanalisis makanan berdaftar itu. 22 Undang-Undang Malaysia AKTA 727 (3) Apa-apa kos yang diawardkan di bawah subseksyen (2) boleh didapatkan kembali sebagai suatu hutang sivil. Penyerahan perakuan pendaftaran dan perakuan amalan tahunan 26. (1) Jika nama seseorang juruanalisis makanan berdaftar telah diperintahkan oleh Majlis supaya digantung atau dipotong daripada Daftar, orang itu hendaklah menyerahkan perakuan pendaftaran dan perakuan amalan tahunannya kepada Pendaftar dalam tempoh empat belas hari dari penerimaan perintah itu. (2) Mana-mana orang yang tidak mematuhi subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya. Pemotongan nama oleh sebab kelemahan fizikal atau mental 27. (1) Tanpa menjejaskan perenggan 25(1)(c), Majlis boleh mengarahkan supaya nama mana-mana juruanalisis makanan berdaftar dipotong dari Daftar jika Majlis itu berpuas hati bahawa juruanalisis makanan berdaftar itu tidak berupaya, oleh sebab kelemahan fizikal atau mental, untuk menjalankan kewajipannya sebagai seorang juruanalisis makanan. (2) Bagi maksud untuk memuaskan hatinya bahawa mana-mana juruanalisis makanan berdaftar tidak berupaya, oleh sebab kelemahan fizikal atau mental, untuk menjalankan kewajipannya, Majlis itu boleh melantik suatu Jawatankuasa Kajian Semula Perubatan yang hendaklah terdiri daripada tidak kurang daripada dua orang pengamal perubatan dan seorang juruanalisis makanan yang dilantik oleh Majlis itu bagi menyiasat setiap kes dan membuat syor sebagaimana yang difikirkan patut oleh Jawatankuasa itu. Juruanalisis Makanan 23 Perubahan pada Daftar 28. Jika Majlis berpuas hati bahawa seseorang juruanalisis makanan berdaftar telah mati atau secara sukarela membatalkan pendaftarannya sebagai seorang juruanalisis makanan, Majlis itu hendaklah menyebabkan supaya namanya dan semua butir yang berkaitan dengannya dipotong daripada Daftar. Kemasukan semula nama dalam Daftar 29. (1) Jika nama seseorang juruanalisis makanan berdaftar telah dipotong dari Daftar, dia boleh memohon supaya namanya dimasukkan semula ke dalam Daftar atas alasan bahawa oleh sebab suatu perubahan tertentu dalam hal keadaan yang telah berlaku sejak tarikh pemotongan itu adalah adil namanya dimasukkan semula sedemikian. (2) Majlis boleh, mengikut budi bicaranya, apabila permohonan dibuat kepadanya, memerintahkan supaya nama pemohon itu dimasukkan semula ke dalam Daftar. Rayuan 30. (1) Mana-mana juruanalisis makanan yang— (a) telah ditolak pendaftarannya oleh Majlis; (b) telah didaftarkan tetapi tidak berpuas hati dengan apa-apa syarat atau sekatan yang dikenakan oleh Majlis di bawah Akta ini; (c) setelah didaftarkan telah dipotong namanya dari Daftar menurut perintah Majlis di bawah seksyen 27; (d) tidak berpuas hati dengan apa-apa perintah Majlis di bawah seksyen 25; atau 24 Undang-Undang Malaysia AKTA 727 (e) terkilan dengan keputusan Majlis di bawah seksyen 29, boleh, dalam tempoh dua puluh satu hari dari diberitahu mengenai keputusan Majlis itu, memfailkan rayuan secara bertulis kepada Menteri, yang hendaklah kemudian membuat suatu keputusan. (2) Suatu salinan notis rayuan dalam subseksyen (1) hendaklah dihantar kepada Pengerusi Majlis. BAHAGIAN V ANALISIS MAKANAN Juruanalisis makanan berdaftar boleh mengeluarkan laporan analisis makanan 31. (1) Tiada seorang pun boleh mengeluarkan atau memperakukan secara bertulis keputusan apa-apa analisis makanan bagi maksud untuk menentukan komposisi atau spesifikasi mana- mana bahan atau produk yang dimakan atau digunakan oleh, atau dicadangkan untuk dimakan atau digunakan oleh orang awam melainkan jika dia seorang juruanalisis makanan berdaftar dan mempunyai perakuan amalan tahunan yang sah. (2) Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan yang berikutnya, didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya. Menjalankan amalan tanpa perakuan amalan tahunan 32. (1) Seseorang juruanalisis makanan berdaftar yang menjalankan amalan tanpa perakuan amalan tahunan melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan— Juruanalisis Makanan 25 (a) berkenaan dengan kesalahan pertama, didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya; dan (b) berkenaan dengan kesalahan yang berikutnya, didenda tidak melebihi empat puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi empat tahun atau kedua- duanya. (2) Mana-mana orang yang— (a) menjalankan perkongsian dengan seseorang yang menjalankan amalan menganalisis makanan tanpa perakuan amalan tahunan yang sah; atau (b) mengambil khidmat seseorang yang menjalankan amalan menganalisis makanan tanpa perakuan amalan tahunan yang sah, melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan— (A) berkenaan dengan kesalahan pertama, didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua- duanya; (B) berkenaan dengan kesalahan yang berikutnya, didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua- duanya; (C) berkenaan dengan kesalahan yang berterusan, didenda selanjutnya lima ratus ringgit bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan sebagai tambahan kepada penalti yang diperuntukkan di bawah perenggan (A) dan (B). (3) Seseorang yang disebut dalam subseksyen (2) hendaklah tidak boleh disifatkan telah melakukan suatu kesalahan jika dia 26 Undang-Undang Malaysia AKTA 727 membuktikan bahawa kesalahan itu telah dilakukan tanpa pengetahuan, persetujuan atau pembiarannya. BAHAGIAN VI AM Pendaftaran secara fraud 33. Seseorang yang berdaftar atau cuba untuk mendaftarkan dirinya atau mana-mana orang lain di bawah Akta ini dengan membuat atau mengemukakan atau menyebabkan supaya dibuat atau dikemukakan apa-apa representasi atau pengisytiharan secara palsu atau fraud sama ada secara lisan atau bertulis melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua- duanya. Kesalahan menyamar, mengemukakan diri, dsb., sebagai seorang juruanalisis makanan berdaftar 34. Seseorang yang tidak berdaftar sebagai seorang juruanalisis makanan di bawah Akta ini melakukan suatu kesalahan jika dia— (a) menyamar sebagai seorang juruanalisis makanan berdaftar; (b) mengemukakan dirinya, melalui pengiklanan atau selainnya, sebagai orang berkelayakan atau diberi kuasa untuk menjalankan amalan menganalisis makanan, dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi dua puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan yang berikutnya, didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. Juruanalisis Makanan 27 Penalti am 35. Mana-mana orang yang melakukan suatu kesalahan di bawah Akta ini yang baginya tiada penalti khusus diperuntukkan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua- duanya. Kesalahan yang dilakukan oleh pertubuhan perbadanan 36. (1) Jika sesuatu pertubuhan perbadanan melakukan suatu kesalahan di bawah Akta ini, mana-mana orang yang pada masa pelakuan kesalahan itu merupakan seorang pengarah, pengurus, setiausaha atau pegawai lain yang seumpamanya dalam pertubuhan perbadanan itu atau yang berupa sebagai bertindak atas mana-mana kapasiti sedemikian atau mengikut apa-apa cara atau sehingga apa- apa takat bertanggungjawab bagi pengurusan apa-apa hal-ehwal pertubuhan perbadanan itu atau membantu dalam pengurusan sedemikian— (a) boleh dipertuduh secara berasingan atau bersesama dalam prosiding yang sama dengan pertubuhan perbadanan itu; dan (b) jika pertubuhan perbadanan itu didapati melakukan kesalahan, hendaklah disifatkan telah melakukan kesalahan itu melainkan jika, dengan mengambil kira sifat fungsinya atas kapasiti itu dan semua hal keadaan, dia membuktikan— (i) bahawa kesalahan itu dilakukan tanpa pengetahuan, persetujuan atau pembiarannya; dan (ii) bahawa dia telah mengambil segala langkah berjaga-jaga yang munasabah dan telah menjalankan usaha yang wajar untuk mengelakkan pelakuan kesalahan itu. 28 Undang-Undang Malaysia AKTA 727 (2) Jika mana-mana orang di bawah Akta ini boleh dikenakan apa-apa hukuman atau penalti bagi apa-apa perbuatan, peninggalan, keabaian atau keingkaran, dia boleh dikenakan hukuman atau penalti yang sama bagi tiap-tiap perbuatan, peninggalan, keabaian atau keingkaran mana-mana pekerja atau ejennya, atau pekerja ejen itu, jika perbuatan, peninggalan, keabaian atau keingkaran itu telah dilakukan— (a) oleh pekerjanya dalam masa penggajiannya; (b) oleh ejen itu semasa bertindak bagi pihaknya; atau (c) oleh pekerja ejen itu dalam masa penggajian pekerja itu dengan ejen itu atau selainnya bagi pihak ejen itu. Pelantikan pegawai diberi kuasa 37. (1) Menteri boleh melantik apa-apa bilangan pegawai diberi kuasa sebagaimana yang difikirkannya perlu bagi maksud Akta ini dan tiap-tiap pegawai diberi kuasa hendaklah dikeluarkan kepadanya kad kuasa yang boleh diterima sebagai keterangan dalam mana-mana prosiding undang-undang dan boleh menjadi keterangan prima facie mengenai fakta yang diperakukan itu. (2) Pegawai diberi kuasa yang dilantik di bawah seksyen ini hendaklah disifatkan sebagai pekhidmat awam mengikut pengertian Kanun Keseksaan. Kuasa untuk memasuki premis, memeriksa dan menyita dokumen, dsb. 38. (1) Seseorang pegawai diberi kuasa boleh, pada bila-bila masa, memasuki mana-mana premis di mana seseorang juruanalisis makanan berdaftar sedang menjalankan amalan menganalisis makanan atau di mana terdapat alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa seseorang itu sedang menjalankan amalan menganalisis makanan dan menjalankan kuasa yang berikut: Juruanalisis Makanan 29 (a) memeriksa apa-apa dokumen, radas atau barang yang disimpan atau digunakan berkaitan dengan amalan itu; (b) jika seseorang itu menjalankan amalan menganalisis makanan tanpa didaftarkan atau tanpa perakuan amalan tahunan di bawah Akta ini, menyita apa-apa dokumen, radas atau barang yang disimpan atau digunakan berkaitan dengan amalan itu; (c) mengkehendaki apa-apa maklumat yang berhubungan dengan amalan itu sebagaimana yang ditentukan oleh pegawai diberi kuasa supaya diberikan kepadanya; (d) memeriksa apa-apa tatacara atau ujian yang dilakukan atau dijalankan oleh juruanalisis makanan, untuk memastikan pematuhan garis panduan yang dikeluarkan oleh Majlis; dan (e) memeriksa, mengambil, membuat salinan, atau membuat cabutan daripada, apa-apa rekod yang dijumpai di dalam premis itu. (2) Mana-mana orang yang— (a) mengugut atau menghalang pegawai diberi kuasa dalam melaksanakan kewajipan pegawai diberi kuasa itu; (b) enggan untuk membenarkan pegawai diberi kuasa untuk memeriksa apa-apa dokumen, radas atau barang; (c) enggan untuk mengemukakan apa-apa dokumen, radas atau barang untuk diperiksa oleh pegawai diberi kuasa; (d) enggan untuk menyerahkan apa-apa dokumen, radas atau barang kepada pegawai diberi kuasa; (e) enggan untuk memberikan apa-apa maklumat yang dikehendaki oleh pegawai diberi kuasa; atau 30 Undang-Undang Malaysia AKTA 727 (f) cuba untuk melakukan mana-mana perbuatan yang disebut dalam perenggan (a) hingga (e), melakukan suatu kesalahan. (3) Jika pegawai diberi kuasa menyita dan memeterai apa-apa dokumen, radas atau barang, dia hendaklah memberikan penerimaan yang ditandatangani bagi dokumen, radas atau barang itu. (4) Seseorang pegawai diberi kuasa yang menjalankan kuasa di bawah seksyen ini hendaklah mengemukakan kad kuasanya apabila diminta. Capaian kepada data berkomputer 39. (1) Seseorang pegawai diberi kuasa yang menjalankan penggeledahan di bawah Akta ini hendaklah diberi capaian kepada data berkomputer sama ada yang disimpan dalam komputer atau selainnya. (2) Dalam seksyen ini, “capaian” termasuk diberi kata laluan yang perlu, kod penyulitan, kod penyahsulitan, perisian atau perkakasan dan apa-apa cara lain yang dikehendaki untuk membolehkan pemahaman data berkomputer itu. Kuasa untuk menghendaki kehadiran orang yang mempunyai pengetahuan tentang kes 40. (1) Seseorang pegawai diberi kuasa yang membuat penyiasatan di bawah Akta ini boleh, melalui perintah bertulis menghendaki kehadiran di hadapannya mana-mana orang yang pada pendapat pegawai diberi kuasa itu mempunyai pengetahuan tentang fakta dan hal keadaan kes itu, dan orang itu hendaklah hadir sebagaimana yang dikehendaki sedemikian. (2) Jika mana-mana orang itu enggan hadir sebagaimana yang dikehendaki, pegawai diberi kuasa itu boleh melaporkan keengganan Juruanalisis Makanan 31 itu kepada seorang Majistret yang hendaklah mengeluarkan suatu saman untuk memastikan kehadiran orang itu sebagaimana yang dikehendaki oleh perintah yang dibuat di bawah subseksyen (1). Pemeriksaan orang yang mempunyai pengetahuan tentang kes 41. (1) Seseorang pegawai diberi kuasa yang membuat suatu penyiasatan di bawah Akta ini boleh memeriksa secara lisan mana- mana orang yang dikatakan mempunyai pengetahuan tentang fakta dan hal keadaan kes itu. (2) Orang yang diperiksa oleh pegawai diberi kuasa adalah terikat di sisi undang-undang untuk menjawab semua soalan yang berhubungan dengan kes itu yang diajukan kepadanya oleh pegawai diberi kuasa itu, tetapi orang itu boleh enggan untuk menjawab apa- apa soalan yang jawapannya berkecenderungan untuk mendedahkannya kepada pertuduhan jenayah, penalti atau pelucuthakan. (3) Seseorang yang membuat pernyataan di bawah seksyen ini adalah terikat di sisi undang-undang untuk menyatakan yang benar, sama ada pernyataan itu dibuat secara keseluruhannya atau sebahagiannya dalam menjawab soalan atau tidak. (4) Seseorang pegawai diberi kuasa yang memeriksa seseorang di bawah subseksyen (1) hendaklah terlebih dahulu memaklumkan orang itu mengenai peruntukan subseksyen (2) dan (3). (5) Sesuatu pernyataan yang dibuat oleh mana-mana orang di bawah seksyen ini hendaklah, bila mana mungkin, diubah ke dalam bentuk bertulis dan ditandatangani oleh orang yang membuatnya atau diletakkan cap ibu jarinya, mengikut mana-mana yang berkenaan— (a) selepas pernyataan itu dibacakan kepadanya dalam Bahasa dia membuat pernyataan itu; dan (b) selepas dia diberi peluang untuk membuat apa-apa pembetulan yang dia mahu. 32 Undang-Undang Malaysia AKTA 727 Kebolehterimaan pernyataan sebagai keterangan 42. (1) Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan dalam seksyen ini, tiada pernyataan yang dibuat oleh mana-mana orang kepada seorang pegawai diberi kuasa dalam penjalanan suatu penyiasatan yang dibuat di bawah Akta ini boleh digunakan sebagai keterangan. (2) Apabila mana-mana saksi dipanggil bagi pendakwaan atau pembelaan, selain tertuduh, mahkamah hendaklah, atas permintaan tertuduh atau pendakwa, merujuk kepada mana-mana pernyataan yang dibuat oleh saksi itu kepada pegawai diberi kuasa dalam penjalanan penyiasatan di bawah Akta ini dan boleh kemudian, jika difikirkan patut oleh mahkamah demi kepentingan keadilan, mengarahkan supaya tertuduh diberi suatu salinan pernyataan itu dan pernyataan itu boleh digunakan untuk mencabar kebolehpercayaan saksi itu mengikut cara yang diperuntukkan oleh Akta Keterangan 1950 [Akta 56]. (3) Jika tertuduh telah membuat suatu pernyataan semasa penjalanan suatu penyiasatan, pernyataan itu boleh diterima sebagai keterangan untuk menyokong pembelaannya semasa penjalanan perbicaraan. (4) Tiada apa jua dalam seksyen ini boleh disifatkan terpakai bagi apa-apa pernyataan yang dibuat dalam penjalanan perbarisan cam atau yang diliputi oleh seksyen 27 atau perenggan 32(1)(a), (i) dan (j) Akta Keterangan 1950. (5) Apabila mana-mana orang dipertuduh atas mana-mana kesalahan yang berhubungan dengan— (a) pembuatan; atau (b) kandungan, mana-mana pernyataan yang dibuat olehnya kepada seorang pegawai diberi kuasa dalam penjalanan suatu penyiasatan polis yang dibuat di bawah Akta ini, pernyataan itu boleh digunakan sebagai keterangan dalam kes pendakwaan. Juruanalisis Makanan 33 Pengkompaunan kesalahan 43. (1) Ketua Pengarah boleh, dengan keizinan bertulis Pendakwa Raya, mengkompaun apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh mana-mana orang di bawah Akta ini atau peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Akta ini dan yang ditetapkan oleh Menteri sebagai suatu kesalahan boleh kompaun dengan membuat suatu tawaran bertulis kepada orang itu untuk mengkompaun kesalahan itu apabila dibayar kepada Ketua Pengarah atau mana-mana orang yang diberi kuasa secara bertulis oleh Ketua Pengarah apa-apa amaun yang tidak melebihi lima puluh peratus daripada denda maksimum bagi kesalahan itu dalam apa-apa masa yang dinyatakan dalam tawaran itu. (2) Sesuatu tawaran di bawah subseksyen (1) boleh dibuat pada bila-bila masa selepas kesalahan itu dilakukan tetapi sebelum apa-apa pendakwaan baginya dimulakan dan jika amaun yang dinyatakan dalam tawaran itu tidak dibayar dalam masa yang dinyatakan dalam tawaran itu atau apa-apa masa lanjutan yang diberikan oleh Ketua Pengarah atau mana-mana orang yang diberi kuasa secara bertulis oleh Ketua Pengarah, pendakwaan bagi kesalahan itu boleh dimulakan pada bila-bila masa selepas itu terhadap orang yang kepadanya tawaran itu dibuat. (3) Jika sesuatu kesalahan telah dikompaun di bawah subseksyen (1)— (a) tiada pendakwaan boleh selepas itu dimulakan berkenaan dengan kesalahan itu terhadap orang yang kepadanya tawaran untuk mengkompaun telah dibuat; dan (b) mana-mana buku, rekod, radas, kelengkapan, alat, benda, barang, bahan atau apa-apa benda lain yang disita berkaitan dengan kesalahan itu, boleh dilucuthakkan, dimusnahkan atau dipulangkan kepada orang itu, sebagaimana yang difikirkan patut oleh Ketua Pengarah selepas mengambil kira sifat kesalahan itu dan tertakluk kepada apa-apa terma dan syarat yang dikenakan. 34 Undang-Undang Malaysia AKTA 727 Pemulaan pendakwaan 44. Tiada pendakwaan bagi atau berkenaan dengan sesuatu kesalahan di bawah Akta ini boleh dimulakan kecuali oleh atau dengan keizinan Pendakwa Raya. Pelantikan penasihat undang-undang 45. (1) Majlis atau Jawatankuasa Tatatertib boleh melantik seorang penasihat undang-undang untuk membantu Majlis atau Jawatankuasa Tatatertib semasa apa-apa siasatan yang menyentuh perkara tatatertib. (2) Majlis atau Jawatankuasa Tatatertib boleh melantik mana- mana orang yang merupakan dan telah menjadi peguam bela dan peguam cara bagi suatu tempoh yang tidak kurang daripada lima tahun untuk menasihatinya tentang— (a) semua persoalan undang-undang yang berbangkit semasa siasatan; dan (b) pengertian dan pentafsiran semua dokumen yang diperoleh semasa siasatan. Kuasa Menteri untuk mengecualikan 46. (1) Menteri boleh, melalui perintah yang disiarkan dalam Warta, mengecualikan tertakluk kepada apa-apa syarat yang difikirkannya patut dikenakan— (a) mana-mana orang yang menjalankan kerja penyelidikan dan pembangunan di mana-mana institut penyelidikan atau institusi pendidikan tinggi atau dalam mana-mana industri mengenai analisis makanan bagi kegunaannya sendiri; atau Juruanalisis Makanan 35 (b) mana-mana orang yang menjalankan kawalan kualiti dalaman atau jaminan kualiti di mana-mana institut penyelidikan atau institusi pendidikan tinggi atau dalam mana-mana industri mengenai analisis makanan bagi kegunaannya sendiri, daripada kesemua atau mana-mana peruntukan Akta ini atau mana- mana peraturan yang dibuat di bawah Akta ini. (2) Menteri boleh, pada bila-bila masa, melalui perintah yang disiarkan dalam Warta, membatalkan apa-apa perintah yang dibuat di bawah subseksyen (1) jika dia berpuas hati bahawa pengecualian itu sepatutnya tidak lagi diberikan. Kuasa untuk membuat peraturan-peraturan 47. (1) Menteri boleh, selepas berunding dengan Majlis, membuat apa-apa peraturan yang suai manfaat atau perlu bagi melaksanakan maksud Akta ini. (2) Khususnya dan tanpa menjejaskan keluasan subseksyen (1), peraturan-peraturan itu boleh menetapkan mana-mana atau kesemua yang berikut: (a) kewajipan Pendaftar; (b) bentuk dan kandungan Daftar dan cara yang mengikutnya Daftar itu hendaklah disimpan; (c) fi yang hendaklah dibayar di bawah Akta ini; (d) bentuk dan cara yang mengikutnya permohonan bagi pendaftaran dan pembaharuan perakuan amalan tahunan hendaklah dibuat; (e) tatacara yang hendaklah diikuti berhubungan dengan siasatan yang diadakan di bawah Akta ini; 36 Undang-Undang Malaysia AKTA 727 (f) bentuk apa-apa perakuan atau dokumen lain yang dikehendaki di bawah Akta ini; (g) kesalahan yang boleh dikompaun; dan (h) apa-apa perkara lain yang dikehendaki supaya ditetapkan oleh Akta ini atau yang perlu atau suai maanfaat untuk ditetapkan bagi melaksanakan Akta ini. Peruntukan peralihan 48. (1) Mana-mana orang yang, pada tarikh permulaan kuat kuasa Akta ini, sedang menjalankan apa-apa aktiviti analisis makanan yang Akta ini terpakai baginya hendaklah, dalam tempoh 12 bulan dari tarikh permulaan kuat kuasa Akta ini, memohon supaya didaftarkan sebagai seorang juruanalisis makanan di bawah Akta ini. (2) Mana-mana orang yang disebut dalam subseksyen (1) boleh terus menjalankan aktiviti itu sementara menunggu penentuan permohonannya supaya didaftarkan di bawah Akta ini. 36 UNDANG-UNDANG MALAYSIA Akta 727 AKTA JURUANALISIS MAKANAN 2011 SENARAI PINDAAN Undang-undang Tajuk ringkas Berkuat kuasa yang meminda dari -TIADA - 37 UNDANG-UNDANG MALAYSIA Akta 727 AKTA JURUANALISIS MAKANAN 2011 SENARAI SEKSYEN YANG MEMINDA Seksyen Kuasa meminda Berkuat kuasa dari -TIADA-
Provision text is displayed from LexChat’s stored statute record. Use the official source links to verify amendments, commencement, and current legal force.
Ask AI about this statute
727 - *AKTA JURUANALISIS MAKANAN 2011
Sign in to ask AI about this statute
Sign in to start authenticated, citation-grounded statute research.
Sign in