170 - AKTA PERTUBUHAN SENI MEMPERTAHANKAN DIRI 1976
This Act sets up a martial arts supervisory council, requires registration for martial arts organisations and instructors, and restricts unregistered teaching and learning.
AI-assisted research synopsis — verify against the official legal text below.
- Jurisdiction
- Malaysia
- Instrument
- Act or statute
- Version
- Undated source snapshot
- Language
- en
- Official source
- View official record ↗
Statute overview
About this statute
This page preserves the statute’s identified version, provision structure, official source link, and stored legal text for reading and research.
Search within this statute
Search all stored provisions in this version.
Legal text
Provisions of 170 - AKTA PERTUBUHAN SENI MEMPERTAHANKAN DIRI 1976
Showing 1 of 1
- § Verify source ↗
170 - AKTA PERTUBUHAN SENI MEMPERTAHANKAN DIRI 1976
AI-assisted research summary: This Act sets up a martial arts supervisory council, requires registration for martial arts organisations and instructors, and restricts unregistered teaching and learning.
UNDANG-UNDANG MALAYSIA CETAKAN SEMULA Akta 170 AKTA PERTUBUHAN SENI MEMPERTAHANKAN DIRI 1976 Mengandungi segala pindaan hingga 1 Januari 2006 DITERBITKAN OLEH PESURUHJAYA PENYEMAK UNDANG-UNDANG, MALAYSIA DI BAWAH KUASA AKTA PENYEMAKAN UNDANG-UNDANG 1968 SECARA USAHA SAMA DENGAN PERCETAKAN NASIONAL MALAYSIA BHD 2006 2 Undang-Undang Malaysia AKTA 170 AKTA PERTUBUHAN SENI MEMPERTAHANKAN DIRI 1976 Tarikh Perkenan Diraja ... … … … 18 Mac 1976 Tarikh penyiaran dalam Warta ... .... ... 25 Mac 1976 CETAKAN SEMULA YANG TERDAHULU Cetakan Semula Yang Pertama … … … … 1998 Cetakan Semula Yang Kedua … … … … 2001 Pertubuhan Seni Mempertahankan Diri 3 UNDANG-UNDANG MALAYSIA Akta 170 AKTA PERTUBUHAN SENI MEMPERTAHANKAN DIRI 1976 SUSUNAN SEKSYEN BAHAGIAN I PERMULAAN Seksyen 1. Tajuk ringkas, permulaan kuat kuasa dan pemakaian 2. Tafsiran 3. Pendaftar Pertubuhan Seni Mempertahankan Diri BAHAGIAN II MAJLIS PENYELIAAN SENI MEMPERTAHANKAN DIRI 4. Penubuhan Majlis Penyeliaan Seni Mempertahankan Diri 5. Tempoh dan syarat pelantikan, pembatalan dan peletakan jawatan 6. Jawatan disifatkan dikosongkan 7. Saraan dan elaun 8. Mesyuarat 9. Majlis boleh mengundang orang lain ke mesyuarat 10. Minit-minit 11. Kesahan perbuatan dan prosiding BAHAGIAN III PENDAFTARAN 12. Badan pengawalan kebangsaan 13. Pendaftaran pertubuhan seni mempertahankan diri 4 Undang-Undang Malaysia AKTA 170 Seksyen 14. Anggota baru, pengajar baru dan keberhentian daripada mengajar atau menjadi anggota 15. Sekatan mengenai tempat belajar 16. Pendaftaran pengajar 17. Pembatalan atau penggantungan pendaftaran pengajar 18. Sekatan mengenai mempelajari seni mempertahankan diri 19. Penggunaan senjata 20. Larangan 21. Pemakaian Akta Pertubuhan 1966 bagi Akta ini 22. Kesan pembatalan di bawah Akta Pertubuhan dan Akta ini atas pertubuhan dan pertubuhan seni mempertahankan diri 23. Sekatan mengenai pendaftaran dan pelesenan pertubuhan, perniagaan, dll. BAHAGIAN IV PELBAGAI 24. Tanggungan jenayah 25. Penggeledahan dan pemeriksaan tanpa waran 26. Penangkapan 27. Peraturan JADUAL PERTAMA JADUAL KEDUA Pertubuhan Seni Mempertahankan Diri 5 UNDANG-UNDANG MALAYSIA Akta 170 AKTA PERTUBUHAN SENI MEMPERTAHANKAN DIRI 1976 Suatu Akta untuk membuat peruntukan bagi penubuhan Majlis Penyeliaan Seni Mempertahankan Diri, bagi pendaftaran pertubuhan seni mempertahankan diri dan perkara yang berkaitan dengannya. [ ] MAKA INILAH DIPERBUAT UNDANG-UNDANG oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat dan persetujuan Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang bersidang dalam Parlimen, dan dengan kuasa daripadanya, seperti yang berikut: BAHAGIAN I PERMULAAN Tajuk ringkas, permulaan kuat kuasa dan pemakaian 1. (1) Akta ini bolehlah dinamakan Akta Pertubuhan Seni Mempertahankan Diri 1976 dan hendaklah mula berkuat kuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Menteri melalui pemberitahuan dalam Warta. (2) Akta ini hendaklah dipakai di seluruh Malaysia. Tafsiran 2. Dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain — “mempelajari” ertinya mempelajari apa-apa gaya seni mempertahankan diri sama ada pada seseorang pengajar atau selainnya dan termasuklah mengamalkan mana-mana senaman bagi apa-apa gaya seni mempertahankan diri itu; 6 Undang-Undang Malaysia AKTA 170 “Menteri” ertinya Menteri yang bertanggungjawab atas sukan; “seni mempertahankan diri” atau “apa-apa gaya seni mempertahankan diri”ertinya mana-mana seni mempertahankan diri yang dinyatakan dalam Jadual Pertama atau mana-mana gabungan daripadanya dan apa-apa gaya latihan jasmani lain yang dengan mempelajari atau mengamalkannya akan membolehkan pelaku itu mendapat kemahiran untuk mempertahankan dirinya secara jasmani terhadap serangan bersenjata atau tidak bersenjata: Dengan syarat bahawa walau apa pun takrif “seni mempertahankan diri” itu Menteri boleh dengan perintah yang disiarkan dalam Warta meminda Jadual Pertama; “tempat belajar” ertinya tempat belajar yang didaftarkan di bawah seksyen 13 yang apa-apa gaya seni mempertahankan diri akan dipelajari oleh suatu pertubuhan seni mempertahankan diri; “tempat mengajar” ertinya tempat mengajar yang didaftarkan di bawah seksyen 16 selain suatu tempat belajar, yang apa-apa gaya seni mempertahankan diri diajarkan kepada anggota pertubuhan seni mempertahankan diri oleh seseorang pengajar yang didaftarkan. Pendaftar Pertubuhan Seni Mempertahankan Diri 3. Pendaftar Pertubuhan hendaklah menjadi Pendaftar Pertubuhan Seni Mempertahankan Diri dan Timbalan Pendaftar Pertubuhan dan Penolong Pendaftar Pertubuhan hendaklah secara bersamaan menjadi Timbalan Pendaftar Pertubuhan Seni Mempertahankan Diri dan Penolong Pendaftar Pertubuhan Seni Mempertahankan Diri. BAHAGIAN II MAJLIS PENYELIAAN SENI MEMPERTAHANKAN DIRI Penubuhan Majlis Penyeliaan Seni Mempertahankan Diri 4. (1) Suatu badan bernama Majlis Penyeliaan Seni Mempertahankan Diri ditubuhkan yang fungsinya ialah— (a) pada amnya untuk menasihati Menteri mengenai perkara yang berkaitan dengan seni mempertahankan diri; dan Pertubuhan Seni Mempertahankan Diri 7 (b) untuk menasihati Menteri mengenai apa-apa perkara yang dirujuk kepada Majlis oleh Menteri. (2) Majlis hendaklah terdiri daripada anggota yang berikut yang hendaklah dilantik oleh Menteri: (a) seorang Pengerusi; (b) seorang Timbalan Pengerusi; (c) tidak kurang daripada lapan orang tetapi tidak lebih daripada lima belas orang anggota yang dipilih daripada kalangan orang yang dicalonkan oleh berbagai-bagai badan yang berkenaan dengan seni mempertahankan diri atau jika tidak ada pencalonan yang dibuat dalam tempoh tiga bulan dari tarikh mula berjalan berkuat kuasanya Akta ini, daripada kalangan orang yang difikirkan patut oleh Menteri; (d) tidak kurang daripada lima orang tetapi tidak lebih daripada lapan orang anggota daripada Kementerian yang pada pendapat Menteri adalah perlu diwakili. (3) Menteri boleh, berkenaan dengan setiap anggota yang dilantik di bawah perenggan (2)(c), melantik seorang menjadi anggota silih ganti untuk hadir sebagai ganti anggota itu pada mesyuarat-mesyuarat Majlis yang tidak dapat dihadiri oleh anggota itu atas apa-apa sebab. (4) Apabila menghadiri mesyuarat Majlis, seseorang anggota silih ganti hendaklah bagi segala maksud disifatkan sebagai seorang anggota Majlis. Seseorang anggota silih ganti hendaklah, melainkan jika dia terlebih dahulu meletakkan jawatannya atau pelantikannya terlebih dahulu dibatalkan, terhenti menjadi anggota silih ganti apabila anggota berkenaan dengannya dia menjadi anggota silih ganti terhenti menjadi ahli Majlis. Tempoh dan syarat pelantikan, pembatalan dan peletakan jawatan 5. (1) Seseorang anggota Majlis hendaklah memegang jawatan bagi sesuatu tempoh dan tertakluk kepada apa-apa syarat sebagaimana yang dinyatakan oleh Menteri dalam surat cara pelantikannya. (2) Pelantikan mana-mana anggota boleh pada bila-bila masa dibatalkan oleh Menteri tanpa memberikan apa-apa sebab baginya. 8 Undang-Undang Malaysia AKTA 170 (3) Seseorang anggota boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya melalui surat yang dialamatkan kepada Menteri. Jawatan disifatkan dikosongkan 6. (1) Jawatan seseorang anggota Majlis hendaklah disifatkan dikosongkan— (a) jika dia mati; (b) jika telah dibuktikan terhadapnya, atau dia telah disabitkan atas, suatu pertuduhan berkenaan dengan— (i) kesalahan yang melibatkan fraud, kecurangan atau keburukan akhlak; (ii) kesalahan di bawah mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan rasuah; (iii) apa-apa kesalahan lain yang boleh dihukum dengan pemenjaraan (sama ada pemenjaraan sahaja atau sebagai tambahan kepada denda atau sebagai ganti denda) selama lebih daripada dua tahun; (c) jika dia menjadi bankrap; (d) jika dia tidak sempurna akal atau selainnya tidak berupaya melaksanakan kewajipannya; (e) jika dia tidak menghadiri mesyuarat tiga kali berturut- turut tanpa kebenaran Majlis; (f) sekiranya peletakan jawatannya diterima oleh Menteri; atau (g) jika pelantikannya dibatalkan. (2) Jika mana-mana anggota terhenti menjadi seorang anggota oleh sebab mana-mana peruntukan Akta ini, seseorang hendaklah dilantik untuk menggantikannya mengikut peruntukan yang terpakai. Saraan dan elaun 7. Hendaklah dibayar kepada anggota Majlis atau mana-mana orang lain apa-apa gaji, saraan atau elaun sebagaimana yang ditentukan oleh Menteri. Pertubuhan Seni Mempertahankan Diri 9 Mesyuarat 8. (1) Majlis hendaklah mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam masa tiap-tiap enam bulan. (2) Kuorum Majlis hendaklah terdiri daripada Pengerusi atau Timbalan Pengerusi dan tujuh orang anggota lain. (3) Pada semua mesyuarat Majlis, Pengerusi atau jika dia tidak hadir, Timbalan Pengerusi hendaklah menjadi pengerusi. (4) Jika mengenai apa-apa soal yang hendak diputuskan oleh Majlis terdapat bilangan undi yang sama banyak, Pengerusi atau Timbalan Pengerusi hendaklah mempunyai undi pemutus sebagai tambahan kepada undi biasanya. (5) Tertakluk kepada peruntukan Akta ini, Majlis hendaklah menentukan prosedurnya sendiri. Majlis boleh mengundang orang lain ke mesyuarat 9. Majlis boleh meminta mana-mana orang (yang bukan merupakan seorang ahli Majlis) untuk menghadiri mana-mana mesyuarat atau pertimbangtelitian Majlis bagi maksud menasihatinya mengenai apa-apa perkara yang sedang dibincangkannya, tetapi mana-mana orang yang hadir itu tidak mempunyai hak untuk mengundi pada mesyuarat atau pertimbangtelitian tersebut. Minit-minit 10. (1) Pengerusi atau Timbalan Pengerusi, mengikut mana-mana yang berkenaan, hendaklah menyebabkan minit kesemua mesyuarat Majlis disenggarakan dan disimpan dalam bentuk yang sepatutnya. (2) Apa-apa minit yang dibuat mengenai mesyuarat Majlis hendaklah, jika ditandatangani dengan sewajarnya, diterima sebagai keterangan dalam kesemua prosiding undang-undang tanpa bukti selanjutnya dan tiap-tiap mesyuarat Majlis berkenaan dengan perjalanan yang minitnya telah dibuat sedemikian hendaklah disifatkan telah dipanggil dan diadakan dengan sewajarnya dan semua ahli yang hadir di mesyuarat itu telah layak dengan sewajarnya untuk bertindak. 10 Undang-Undang Malaysia AKTA 170 Kesahan perbuatan dan prosiding 11. Tiada perbuatan yang dilakukan atau prosiding yang diambil di bawah Akta ini boleh dipersoalkan atas alasan— (a) apa-apa kekosongan dalam keanggotaan, atau apa-apa kecacatan dalam penubuhan, Majlis; atau (b) pelanggaran oleh mana-mana anggota Majlis yang berhubungan dengan penzahiran kepentingan oleh anggota itu; atau (c) apa-apa peninggalan, kecacatan atau ketidakteraturan yang tidak menyentuh merit kes itu. BAHAGIAN III PENDAFTARAN Badan pengawalan kebangsaan 12. (1) Hendaklah ditubuhkan, berkenaan dengan setiap gaya seni mempertahankan diri, suatu badan pengawalan kebangsaan. (2) Nama dan penubuhan badan pengawalan kebangsaan itu dan prosedur yang hendaklah diikuti dalam memilih atau melantik orang untuk menjadi anggota badan pengawalan kebangsaan itu hendaklah diputuskan oleh lebih suara wakil pertubuhan seni mempertahankan diri yang mempelajari gaya seni mempertahankan diri itu, setiap pertubuhan menghantar seorang wakil sahaja. (3) Jika pada tarikh mula berkuat kuasanya Akta ini, sudah terdapat, berkenaan dengan mana-mana gaya seni mempertahankan diri, suatu badan pengawalan kebangsaan, badan itu hendaklah disifatkan telah ditubuhkan dan hendaklah berfungsi seolah-olah ditubuhkan di bawah Akta ini. (4) Jika pada tarikh mula berkuat kuasanya Akta ini, terdapat, berkenaan dengan mana-mana gaya seni mempertahankan diri, lebih daripada satu badan pengawalan kebangsaan, Pendaftar boleh, dalam tempoh tiga bulan dari tarikh itu melalui notis yang disampaikan kepada setiap badan itu, menghendaki mereka menubuhkan satu badan pengawalan kebangsaan. (5) Jika pada tarikh mula berkuat kuasanya Akta ini, tidak terdapat, berkenaan dengan mana-mana gaya seni mempertahankan diri, badan pengawalan kebangsaan atau terdapat lebih daripada satu Pertubuhan Seni Mempertahankan Diri 11 badan pengawalan kebangsaan dan badan itu tidak menubuhkan suatu badan pengawalan kebangsaan dalam tempoh tiga bulan itu, Menteri boleh menubuhkan suatu badan pengawalan kebangsaan yang hendaklah disifatkan sebagai badan pengawalan kebangsaan berkenaan dengan gaya seni mempertahankan diri itu. (6) Sesuatu badan pengawalan kebangsaan yang ditubuhkan oleh Menteri hendaklah terdiri daripada— (a) tujuh orang anggota yang hendaklah dilantik oleh Menteri daripada anggota berbagai-bagai pertubuhan seni mempertahankan diri yang mempelajari gaya seni mempertahankan diri itu; (b) tiga orang anggota yang hendaklah dilantik oleh Menteri daripada Kementerian yang pada pendapat Menteri adalah perlu diwakili. (7) Adalah menjadi fungsi dan kewajipan badan pengawalan kebangsaan— (a) untuk mengadakan dan mengawal hal mengadakan pertunjukan dan peperiksaan; (b) untuk mengelaskan dan mengawal pengelasan gred dan penjalanan peperiksaan; (c) untuk menentukan tatakelakuan dan disiplin tiap-tiap pelajar gaya seni mempertahankan diri itu dan boleh bagi maksud itu menubuhkan badan tatatertib yang difikirkannya patut; (d) untuk menentukan orang yang boleh mengambil bahagian dalam majlis atau pertandingan yang dianjurkan di peringkat antarabangsa tetapi apabila membuat penentuan sedemikian hendaklah berunding dengan Kementerian yang bertanggungjawab bagi sukan; (e) untuk menggalakkan dan menyelaraskan aktiviti kesemua pertubuhan seni mempertahankan diri yang mempelajari gaya seni mempertahankan diri itu; dan (f) untuk menjalankan kesemua aktiviti yang penjalanannya didapati adalah perlu atau berfaedah bagi pemajuan gaya seni mempertahankan diri itu. (8) Tiap-tiap anggota sesuatu badan pengawalan kebangsaan hendaklah merupakan seorang warganegara Persekutuan dan jika 12 Undang-Undang Malaysia AKTA 170 seseorang yang bukan warganegara telah dipilih atau dilantik, pemilihan atau pelantikannya hendaklah disifatkan sebagai tidak sah. Pendaftaran pertubuhan seni mempertahankan diri 13. (1) Tertakluk kepada subseksyen (2), tiada pertubuhan yang didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335] atau kumpulan orang selain suatu syarikat, perniagaan, perkongsian atau firma boleh mempunyai sebagai satu daripada tujuan atau aktivitinya, pembelajaran oleh anggotanya apa-apa gaya seni mempertahankan diri melainkan jika pertubuhan atau kumpulan orang itu didaftarkan sebagai suatu pertubuhan seni mempertahankan diri di bawah Akta ini. (2) Jika pada tarikh mula berkuat kuasanya Akta ini mana- mana pertubuhan yang didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan 1966 mempunyai sebagai satu daripada tujuan atau aktivitinya, pembelajaraan oleh anggotanya apa-apa gaya seni mempertahankan diri, pertubuhan itu hendaklah, dalam tempoh tiga bulan dari tarikh itu, membuat permohonan bagi pendaftaran sebagai suatu pertubuhan seni mempertahankan diri di bawah Akta ini. (3) Sesuatu permohonan bagi didaftarkan sebagai suatu pertubuhan seni mempertahankan diri hendaklah— (a) ditandatangani oleh Pengerusi atau Yang Dipertua dan Setiausaha pertubuhan atau kumpulan orang itu; (b) menyatakan gaya seni mempertahankan diri yang akan dipelajari oleh anggotanya; (c) disertakan dengan suatu senarai anggota yang akan mempelajari dan pengajar yang akan mengajarkan gaya seni mempertahankan diri itu, memberikan nama penuh mereka, nombor kad pengenalan mereka, taraf kewarganegaraan mereka, alamat mereka dan kerjaya mereka dan apa-apa maklumat lain sebagaimana yang dikehendaki oleh Pendaftar; (d) menyatakan tempat seni mempertahankan diri yang dinyatakan dalam perenggan (b) itu akan dipelajari oleh anggotanya; dan Pertubuhan Seni Mempertahankan Diri 13 (e) dalam hal sesuatu kumpulan orang selain suatu pertubuhan yang didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan 1966, disertakan dengan — (i) minit mesyuarat sulung kumpulan itu; (ii) perlembagaannya; dan (iii) suatu senarai orang yang menghadiri mesyuarat sulung itu. (4) Pendaftar boleh meluluskan atau menolak permohonan itu tanpa memberikan apa-apa sebab baginya. (5) Jika Pendaftar meluluskan permohonan itu, dia hendaklah mendaftarkan pertubuhan atau kumpulan orang itu sebagai suatu pertubuhan seni mempertahankan diri dan hendaklah mengeluarkan suatu perakuan pendaftaran dalam borang yang ditetapkan. (6) Tempat yang dinyatakan dalam permohonan bagi didaftarkan sebagai tempat seni mempertahankan diri akan dipelajari hendaklah didaftarkan sebagai tempat belajar. (7) Mana-mana pertubuhan yang didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan 1966, atau kumpulan orang yang melanggar subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan di bawah Akta ini dan boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit. Anggota baru, pengajar baru dan keberhentian daripada mengajar atau menjadi anggota 14. (1) Tiap-tiap pertubuhan seni mempertahankan diri hendaklah memberitahu Pendaftar tentang butir yang berikut dalam tempoh dua minggu dari tarikh berlaku kejadian itu: (a) nama penuh, nombor kad pengenalan, taraf kewarganegaraan, alamat dan vokasion kerjaya tiap-tiap anggota baru yang membuat permohonan untuk mempelajari atau mengamalkan gaya seni mempertahankan diri yang dipelajari atau diamalkan oleh anggota lain pertubuhan seni mempertahankan diri itu; (b) nama tiap-tiap orang yang terhenti menjadi seorang anggota; (c) nama, nombor kad pengenalan, taraf kewarganegaraan, alamat dan butir pendaftaran pengajar itu dan mana-mana pengajar baru atau tambahan; 14 Undang-Undang Malaysia AKTA 170 (d) nama orang yang terhenti menjadi seorang pengajar dan tarikh pemberhentian itu. (2) Sesuatu pertubuhan seni mempertahankan diri tidak boleh, kecuali dengan terlebih dahulu mendapat kebenaran Pendaftar, menukar atau menambah gaya seni mempertahankan diri yang hendak dipelajari oleh anggotanya. (3) Mana-mana pertubuhan seni mempertahankan diri yang tidak mematuhi kehendak subseksyen (1) atau (2) melakukan suatu kesalahan di bawah Akta ini dan boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit. Sekatan mengenai tempat belajar 15. Tiada pertubuhan seni mempertahankan diri boleh menukar tempat belajarnya tanpa terlebih dahulu mendapat kebenaran Pendaftar dan tanpa pertukaran itu diendors pada perakuan pendaftaran. Pendaftaran pengajar 16. (1) Tiada seorang pun boleh mengajar apa-apa gaya seni mempertahankan diri kepada orang lain melainkan jika— (a) dia didaftarkan sebagai seorang pengajar di bawah Akta ini; (b) tempat yang pengajaran dijalankan ialah suatu tempat mengajar seni mempertahankan diri atau ialah suatu tempat belajar bagi suatu pertubuhan seni mempertahankan diri; dan (c) orang yang diajarkan itu ialah seorang anggota suatu pertubuhan seni mempertahankan diri. (2) Sesuatu permohonan bagi didaftarkan sebagai seorang pengajar hendaklah— (a) mengandungi nama, nombor kad pengenalan, alamat dan, jika dia bukan seorang pengajar sepenuh masa, vokasion pemohon itu; Pertubuhan Seni Mempertahankan Diri 15 (b) menyatakan gaya seni mempertahankan diri yang pemohon bercadang hendak mengajar; (c) menyatakan tempoh pembelajaran yang ditempuhi oleh pemohon, gred yang diperolehi dan pihak berkuasa peperiksaan yang mengaward grednya; dan (d) menyatakan tempat yang dia bercadang untuk mengajar gaya seni mempertahankan diri itu. (3) Pendaftar boleh, jika dia berpuas hati bahawa pemohon mempunyai kelayakan yang perlu dan ialah seorang yang layak dan sesuai menjadi seorang pengajar, mendaftarkannya sebagai seorang pengajar dan hendaklah mengeluarkan suatu perakuan pendaftaran dalam borang yang ditetapkan. (4) Tempat yang dinyatakan dalam permohonan bagi didaftarkan sebagai tempat yang pengajar bercadang untuk mengajar gaya seni mempertahankan diri hendaklah didaftarkan sebagai tempat mengajar dan tempat itu tidak boleh ditukar tanpa terlebih dahulu mendapat kebenaran bertulis Pendaftar. (5) Seseorang pengajar yang didaftarkan hendaklah dari semasa ke semasa memberitahu Pendaftar secara bertulis tentang— (a) pertubuhan atau pertubuhan seni mempertahankan diri yang kepadanya dia ialah seorang pengajar; (b) jika pelajarnya, semasa mana-mana sesi mengajar di tempat mengajarnya yang didaftarkan, ialah suatu kumpulan yang dibentuk daripada orang yang merupakan anggota lebih daripada satu pertubuhan seni mempertahankan diri, nama pelajar itu, nombor kad pengenalan mereka, alamat dan vokasion mereka dan nama pertubuhan seni mempertahankan diri masing-masing yang mereka merupakan anggotanya; dan (c) nama orang itu yang, setelah disenaraikan di bawah perenggan (b), terhenti menjadi pelajarnya, tarikh pemberhentian itu dan gred yang diperoleh oleh orang itu. 16 Undang-Undang Malaysia AKTA 170 Pembatalan atau penggantungan pendaftaran pengajar 17. (1) Pendaftar boleh membatalkan atau menggantung pendaftaran seseorang pengajar— (a) jika dia berpuas hati bahawa pengajar itu— (i) telah berhenti memberi pengajaran dalam mana- mana gaya seni mempertahankan diri yang berhubungan dengan pendaftaran itu; (ii) telah dengan tidak sepatutnya memperoleh perakuan pengajarnya berlawanan dengan peruntukan Akta ini atau mana-mana peraturan di bawahnya; (iii) tidak lagi merupakan seorang yang layak dan sesuai untuk terus didaftarkan sebagai seorang pengajar; atau (iv) melanggar atau telah melanggar mana-mana peruntukan Akta ini atau peraturan yang dibuat di bawahnya; atau (b) jika dia berpendapat adalah demi kepentingan awam untuk berbuat demikian. (2) Pendaftar hendaklah, sebelum membatalkan atau menggantung pendaftaran seorang pengajar di bawah subseksyen (1), memberi pengajar yang berkenaan suatu notis secara bertulis tentang niatnya untuk berbuat demikian, menyatakan suatu tarikh, tidak kurang daripada empat belas hari selepas tarikh notis itu, bila pembatalan atau penggantungan itu akan dibuat dan meminta pengajar itu menunjukkan sebab kepada Pendaftar mengapa pendaftaran itu tidak patut dibatalkan atau digantung. (3) Jika sebelum tarikh yang disebut dalam subseksyen (2), pengajar tidak menunjukkan sebab kepada Pendaftar mengapa pendaftarannya tidak patut dibatalkan atau digantung, pendaftarannya hendaklah dibatalkan atau digantung tetapi jika pengajar menunjukkan sebab, Pendaftar hendaklah memutuskan dan hendaklah memberitahu pengajar secara bertulis tentang keputusannya. (4) Jika seseorang pengajar, selepas menunjukkan sebab, terkilan dengan keputusan Pendaftar, dia boleh dalam masa empat belas hari selepas menerima keputusan Pendaftar itu, merayu secara bertulis kepada Menteri yang bertanggungjawab bagi pendaftaran pertubuhan dan keputusan Menteri adalah muktamad. Pertubuhan Seni Mempertahankan Diri 17 (5) Walaupun rayuan telah dibuat, keputusan Pendaftar hendaklah berkuat kuasa sehingga keputusan itu diakas atau diubah oleh Menteri itu. Sekatan mengenai mempelajari seni mempertahankan diri 18. (1) Tiada mana-mana dua orang atau lebih boleh berkumpul untuk mempelajari apa-apa gaya seni mempertahankan diri melainkan jika mereka ialah pengajar yang didaftarkan atau anggota suatu pertubuhan atau kumpulan orang yang didaftarkan sebagai suatu pertubuhan seni mempertahankan diri. (2) Walau apa pun subseksyen (1), Pendaftar boleh mengecualikan daripada peruntukan Akta ini, mana-mana pertubuhan atau persatuan yang berkenaan dengannya, ada pada masa itu berkuat kuasa, suatu perakuan (yang boleh diberi, ditolak atau dibatalkan mengikut budi bicaranya) oleh seseorang atau sesuatu pihak berkuasa yang dilantik di bawah peruntukan undang-undang bertulis yang pada masa ini berkuat kuasa yang berhubungan dengan pendaftaran sekolah bahawa pertubuhan atau persatuan itu menjadi sebahagian daripada kurikulum sesuatu sekolah. (3) Mana-mana orang yang termasuk dalam mana-mana kelas orang yang disebut dalam Jadual Kedua tidak boleh— (a) masuk sebagai anggota suatu kumpulan orang yang didaftarkan sebagai suatu pertubuhan seni mempertahankan diri; atau (b) jika dia seorang anggota suatu pertubuhan yang didaftarkan sebagai suatu pertubuhan seni mempertahankan diri, mempelajari apa-apa gaya seni mempertahankan diri, kecuali terlebih dahulu mendapat kebenaran bertulis Pendaftar. (4) Menteri yang bertanggungjawab bagi pendaftaran pertubuhan boleh melalui perintah yang disiarkan dalam Warta meminda Jadual Kedua sebagaimana yang difikirkannya patut. (5) Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) atau (3) melakukan suatu kesalahan dan boleh apabila disabitkan didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya. 18 Undang-Undang Malaysia AKTA 170 Penggunaan senjata 19. Pengajar seni mempertahankan diri dan anggota pertubuhan seni mempertahankan diri boleh dalam masa mempelajari apa-apa gaya seni mempertahankan diri di mana-mana tempat belajar atau tempat mengajar menggunakan, bagi maksud mempelajari gaya seni mempertahankan diri itu sahaja, senjata yang dinyatakan dalam pendaftarannya atau yang dibenarkan secara bertulis oleh Pendaftar. Larangan 20. (1) Walau apa pun apa-apa jua dalam Akta ini, Menteri boleh melalui perintah yang disiarkan dalam Warta melarang amalan atau pengajaran apa-apa gaya latihan jasmani yang termasuk dalam takrif “seni mempertahankan diri”. (2) Mana-mana orang yang melanggar mana-mana perintah yang dibuat di bawah subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan boleh apabila disabitkan didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya. Pemakaian Akta Pertubuhan 1966 bagi Akta ini 21. (1) Peruntukan Akta Pertubuhan 1966 dan peraturan yang dibuat di bawahnya dan Akta ini hendaklah dibaca sebagai satu; dan mana-mana kumpulan orang selain suatu pertubuhan yang didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan 1966 yang— (a) membuat permohonan bagi didaftarkan sebagai suatu pertubuhan seni mempertahankan diri; atau (b) selepas permohonannya, didaftarkan sebagai suatu pertubuhan seni mempertahankan diri di bawah Akta ini, hendaklah mematuhi, sebagai tambahan kepada Akta ini, peruntukan Akta Pertubuhan 1966: Dengan syarat bahawa tiada permohonan yang berasingan boleh dikehendaki bagi didaftarkan suatu kumpulan orang sebagai suatu pertubuhan di bawah Akta Pertubuhan 1966 dan apabila didaftarkan kumpulan orang itu sebagai suatu pertubuhan seni mempertahankan diri di bawah Akta ini, kumpulan orang itu hendaklah disifatkan telah didaftarkan juga sebagai suatu pertubuhan di bawah Akta Pertubuhan 1966. Pertubuhan Seni Mempertahankan Diri 19 (2) Ungkapan “pertubuhan” dalam Akta Pertubuhan 1966 hendaklah melainkan jika konteks Akta ini menghendaki makna yang lain, disifatkan termasuk suatu pertubuhan seni mempertahankan diri yang didaftarkan di bawah Akta ini dan kuasa Menteri yang bertanggungjawab bagi pendaftaran pertubuhan untuk membuat peraturan-peraturan di bawah seksyen 67 Akta Pertubuhan 1966 hendaklah disifatkan meliputi dan termasuk pertubuhan seni mempertahankan diri yang didaftarkan di bawah Akta ini. Kesan pembatalan di bawah Akta Pertubuhan dan Akta ini atas pertubuhan dan pertubuhan seni mempertahankan diri 22. (1) Jika pada menjalankan mana-mana peruntukan Akta Pertubuhan 1966, pendaftaran mana-mana pertubuhan yang didaftarkan di bawah Akta itu telah dibatalkan, pendaftaran pertubuhan itu sebagai suatu pertubuhan seni mempertahankan diri di bawah Akta ini hendaklah disifatkan telah dibatalkan juga. (2) Jika pendaftaran suatu pertubuhan seni mempertahankan diri di bawah Akta ini telah dibatalkan, pembatalan itu tidak boleh, jika ia ialah suatu pertubuhan yang didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan 1966 dan selepas pendaftaran itu didaftarkan sebagai suatu pertubuhan seni mempertahankan diri di bawah Akta ini, menyentuh pendaftarannya sebagai suatu pertubuhan di bawah Akta itu. Sekatan mengenai pendaftaran dan pelesenan pertubuhan, perniagaan, dll. 23. (1) Selepas mula berkuat kuasanya Akta ini, tidak boleh didaftarkan atau dilesenkan— (a) mana-mana pertubuhan yang mempunyai sebagai satu daripada tujuan atau aktivitinya mengajar atau mempelajari apa-apa gaya seni mempertahankan diri di bawah Akta Pertubuhan 1966; (b) mana-mana perniagaan, perkongsian, ketuanpunyaan atau firma di bawah *Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 [Akta 197] bagi Semenanjung Malaysia, Ordinan Pelesenan Tred [Sabah Bab 144] bagi Sabah, atau Ordinan Pelesenan Perniagaan, Profesion dan Tred [Sarawak Bab 33] bagi Sarawak yang satu daripada tujuannya adalah mengajar atau mempelajari apa-apa gaya seni mempertahankan diri; atau *CATATAN—Akta 197 hanya terpakai di Semenanjung Malaysia. 20 Undang-Undang Malaysia AKTA 170 (c) mana-mana syarikat di bawah Akta Syarikat 1965 [Akta 125] yang mempunyai sebagai satu daripada tujuannya mengajar atau mempelajari apa-apa gaya seni mempertahankan diri, tanpa kelulusan secara bertulis Pendaftar dan pemohon itu hendaklah mengemukakan kelulusan itu bersama-sam dengan permohonannya. (2) Pendaftaran atau pelesenan pertubuhan, perniagaan, perkongsian, ketuanpunyaan, firma atau syarikat itu tanpa kelulusan itu hendaklah disifatkan tidak sah. (3) Jika pada tarikh mula berkuat kuasanya Akta ini— (a) mana-mana perniagaan, perkongsian, ketuanpunyaan atau firma didaftarkan atau dilesenkan mengikut mana-mana yang berkenaan, di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 bagi Semenanjung Malaysia, Ordinan Pelesenan Tred bagi Sabah atau Ordinan Pelesenan Perniagaan, Profesion dan Tred bagi Sarawak dan menjalankan sebagai satu daripada aktiviti perniagaannya mengajar apa-apa gaya seni mempertahankan diri; atau (b) mana-mana syarikat didaftarkan di bawah Akta Syarikat 1965 dan mempunyai sebagai satu daripada tujuannya dalam memorandum mengajar apa-apa gaya seni mempertahankan diri, perniagaan, perkongsian, ketuanpunyaan atau firma atau syarikat itu hendaklah, dalam tempoh enam bulan dari tarikh mula berkuat kuasanya itu, membuat permohonan bagi mendapatkan kebenaran bertulis Pendaftar untuk menjalankan sebagai satu daripada aktiviti perniagaannya atau tujuannya mengajar apa-apa gaya seni mempertahankan diri dan jika kebenaran bertulis diberikan, hendaklah disifatkan telah didaftarkan di bawah subseksyen (1) dengan kelulusan Pendaftar. (4) Tiada seorang pun atau sesuatu syarikat boleh, melainkan jika perniagaan, perkongsian, ketuanpunyaan atau firma atau syarikat itu didaftarkan mengikut subseksyen (1) atau jika orang atau syarikat itu wujud pada tarikh mula berkuat kuasanya Akta ini, melainkan jika kebenaran bertulis didapati daripada Pendaftar dalam tempoh yang dinyatakan dalam subseksyen (3), menjalankan sebagai satu daripada aktiviti perniagaannya atau sebagai satu daripada tujuannya mengajar apa-apa gaya seni mempertahankan diri. Pertubuhan Seni Mempertahankan Diri 21 (5) Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (4) melakukan suatu kesalahan dan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. BAHAGIAN IV PELBAGAI Tanggungan jenayah 24. (1) Jika orang yang melakukan sesuatu kesalahan di bawah Akta ini ialah— (a) suatu syarikat, tiap-tiap orang yang pada masa kesalahan itu dilakukan ialah pengarah, pengurus besar, pengurus, setiausaha atau pegawai lain syarikat itu yang berkenaan dengan pengurusan syarikat itu dalam Malaysia atau yang dikatakan bertindak selaku pemegang mana-mana jawatan itu; atau (b) suatu pertubuhan, tiap-tiap orang yang pada masa kesalahan itu dilakukan ialah seorang pemegang jawatan atau seorang yang mengurus atau membantu dalam pengurusan pertubuhan itu, hendaklah disifatkan melakukan kesalahan itu dan boleh diambil langkah perbicaraan terhadapnya dan dihukum dengan sewajarnya: Dengan syarat bahawa adalah menjadi suatu pembelaan bagi orang itu, jika dia membuktikan bahawa kesalahan itu telah dilakukan tanpa persetujuan atau pembiarannya dan dia telah menjalankan segala usaha untuk mencegah kesalahan itu daripada berlaku sebagaimana yang sepatutnya telah dijalankannya dengan mengambil kira jenis fungsinya dan semua keadaan lain. (2) Bagi maksud seksyen ini— (a) “syarikat” termasuklah— (i) mana-mana syarikat yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965; (ii) suatu firma atau persatuan orang perseorangan lain; dan 22 Undang-Undang Malaysia AKTA 170 (iii) seseorang biasa dan orang perseorangan yang didaftarkan atau dilesenkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang berkuat kuasa di Malaysia yang berhubungan dengan pendaftaran atau pelesenan perniagaan; (b) “pemegang jawatan” ertinya mana-mana orang yang merupakan yang dipertua atau naib yang dipertua, atau setiausaha atau bendahari sesuatu pertubuhan atau mana- mana cawangan pertubuhan itu atau yang merupakan seorang anggota jawatankuasa atau badan pentadbir pertubuhan itu atau mana-mana cawangan pertubuhan itu atau yang memegang dalam pertubuhan itu atau cawangan pertubuhan itu apa-apa jawatan atau kedudukan yang seakan-akan sama dengan jawatan yang disebut di atas. (3) Jika ejen atau pekhidmat seseorang (orang itu adalah kemudian daripada ini dalam seksyen ini disebut “prinsipal”) membuat apa- apa atau meninggalkan daripada membuat apa-apa (yang jika dibuat atau ditinggalkan daripada dibuat oleh prinsipal itu akan menjadi suatu kesalahan di bawah Akta ini) prinsipal itu hendaklah, walaupun dia tidak mengetahui kesalahan itu disifatkan melakukan kesalahan itu dan boleh dikenakan hukuman bagi kesalahan itu: Dengan syarat bahawa adalah menjadi suatu pembelaan bagi prinsipal itu, jika dia membuktikan— (a) bahawa perbuatan atau peninggalan yang diadukan bukan dalam ruang lingkup biasa pekerjaan ejen atau pekhidmat itu; dan (b) bahawa prinsipal itu tidak membenarkan atau mengesahkan kemudiannya perbuatan atau peninggalan itu. (4) Jika ejen atau pekhidmat bagi prinsipal itu membuat apa- apa atau meninggalkan daripada membuat apa-apa (yang jika dibuat atau ditinggalkan daripada dibuat oleh prinsipal itu boleh menjadi suatu kesalahan di bawah Akta ini) ejen atau pekhidmat itu melakukan kesalahan itu juga. (5) Peruntukan seksyen ini adalah sebagai tambahan kepada dan tidak mengurangkan kuasa mana-mana peruntukan lain Akta ini. Pertubuhan Seni Mempertahankan Diri 23 Penggeledahan dan pemeriksaan tanpa waran 25. (1) Pendaftar, mana-mana Timbalan Pendaftar atau Penolong Pendaftar atau mana-mana pegawai polis yang berpangkat Inspektor atau lebih tinggi daripada Inspektor atau mana-mana pegawai awam yang diberi kuasa secara bertulis oleh Pendaftar boleh pada bila- bila masa yang munasabah memasuki dan menggeledah mana- mana tempat belajar atau tempat mengajar atau mana-mana rumah kediaman, kedai, premis perniagaan atau mana-mana premis lain yang dia mempunyai sebab untuk mempercayai disimpan atau digunakan oleh mana-mana persatuan, perniagaan, perkongsian, firma atau syarikat jika dia mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa apa-apa kesalahan di bawah Akta ini atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawahnya dilakukan, dan dia boleh— (a) memeriksa mana-mana orang yang didapati berada di dalamnya dengan syarat bahawa seseorang perempuan hanya boleh diperiksa oleh seorang perempuan lain; (b) menahan mana-mana orang yang didapati berada di dalamnya sehingga penggeledahan dan pemeriksaan itu selesai; (c) memeriksa atau membuat cabutan daripada atau mengambil milik mana-mana buku, akaun, tulisan, sepanduk, senarai ahli, lambang kebesaran, jata, dan apa-apa barang lain. (2) Jika seseorang pegawai menjalankan kuasa menggeledah menurut subseksyen (1), dia hendaklah menyediakan suatu senarai (yang ditandatangani olehnya) mengenai semua barang yang disita dalam masa menjalankan penggeledahan dan pemeriksaan itu dan hendaklah tanpa kelengahan tidak wajar menghantar sendiri atau melalui pos suatu salinan senarai itu kepada pemunya atau penghuni premis itu atau kepada wakilnya. (3) Pegawai itu hendaklah membenarkan penghuni premis itu atau wakilnya menyaksikan penggeledahan itu. Penangkapan 26. Jika ternyata pada Majistret, atas maklumat bertulis dengan bersumpah oleh Pendaftar, Timbalan Pendaftar atau Penolong Pendaftar, atau mana-mana pegawai lain yang diberi kuasa secara bertulis oleh Pendaftar bahawa ada sebab yang munasabah untuk mengesyaki bahawa seseorang telah melakukan suatu kesalahan di 24 Undang-Undang Malaysia AKTA 170 bawah Akta ini atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawahnya, dia boleh mengeluarkan suatu waran tangkap yang memberi kuasa kepada pegawai itu untuk menangkap orang itu. Peraturan-peraturan 27. (1) Menteri boleh, selepas berunding dengan Menteri yang bertanggungjawab bagi pendaftaran pertubuhan, membuat peraturan untuk— (a) menetapkan cara latihan dan standard yang hendaklah dicapai oleh seseorang sebelum dia boleh mencapai apa- apa gred dalam apa-apa seni mempertahankan diri atau sebelum dia boleh didaftarkan sebagai seorang pengajar; (b) menetapkan peperiksaan yang orang itu dikehendaki lulus sebelum dia boleh mencapai apa-apa gred dalam apa-apa seni mempertahankan diri atau melayakkan dirinya sebagai pengajar; (c) menyatakan kelayakan yang didapati di dalam atau luar negeri yang boleh diiktiraf; (d) menubuhkan dan mengawal selia pusat bagi mempelajari, mengamalkan dan mengajar apa-apa seni mempertahankan diri; (e) menetapkan fi dan mengecualikan mana-mana orang atau golongan orang daripada pembayaran fi itu; dan (f) menetapkan kesalahan dan mengadakan peruntukan hukuman baginya, hukuman itu tidak boleh melebihi denda satu ribu ringgit atau pemenjaraan yang tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya. (2) Menteri yang bertanggungjawab bagi pendaftaran pertubuhan boleh, selepas berunding dengan Menteri, membuat peraturan- peraturan untuk— (a) menetapkan cara pendaftaran dan borang yang hendaklah digunakan; (b) melarang, menyekat atau mengawal selia penggunaan bendera, lambang, simbol, lencana dan apa-apa lambang kebesaran oleh pertubuhan, syarikat, atau mana-mana kumpulan orang lain dan pengajar yang didaftarkan di bawah Akta ini; dan Pertubuhan Seni Mempertahankan Diri 25 (c) menetapkan kesalahan dan mengadakan peruntukan hukuman baginya, hukuman itu tidak boleh melebihi denda satu ribu ringgit atau pemenjaraan yang tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya. JADUAL PERTAMA [Seksyen 2] JENIS SENI MEMPERTAHANKAN DIRI 1. Wu Shu Orang Cina (Seni Mempertahankan Diri)— (i) hsing-i (ii) pa-kua (iii) pai-hao (iv) shaolin (v) tang lang (vi) tai chi chiuan (vii) pok khik (viii) wu chu (ix) kungfu 2. Orang Jepun— (i) karate-do (ii) judo (iii) jujutsu (iv) kendo (v) iai-do (vi) aiki-do (vii) jodo 3. Orang Korea— (i) taekwan-do (ii) tangsu-do 4. Orang Melayu— Semua jenis silat 5. Orang Indonesia— Pentjak-silat 26 Undang-Undang Malaysia AKTA 170 6. Orang Thai— Toi-muay 7. Orang India— Selambam JADUAL KEDUA [Subseksyen 18(3)] Orang yang telah— (a) didapati bersalah melakukan apa-apa kesalahan yang melibatkan nyawa, kesalahan mencederakan oleh apa-apa sebab, peras ugut atau samun atau samun berkumpulan di bawah mana-mana Kanun Keseksaan [Akta 574] atau kesalahan cuba untuk melakukan mana-mana kesalahan yang disebut terdahulu; (b) tertakluk kepada suatu perintah oleh Ketua Pegawai Polis di bawah seksyen 13 Akta Ketenteraman Awam (Pemeliharaan) 1958 [Akta 296] dan yang perintah tidak dikenselkan; (c) didaftarkan di bawah seksyen 12 Akta Pencegahan Jenayah 1959 [Akta 297]; (d) diletakkan di bawah pengawasan polis di bawah seksyen 295 Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593], seksyen 12 Kanun Tatacara Jenayah [N.S. Bab 21], atau seksyen 247 Kanun Tatacara Jenayah Sabah atau Sarawak [Sabah 4/59; Sarawak Bab 58]; (e) ditahan di bawah suatu perintah di bawah seksyen 8 Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 [Akta 82] dan yang perintah tidak dikenselkan atau dibatalkan; (f) tertakluk kepada kediaman terhad di bawah seksyen 2 atau diletakkan di bawah pengawasan polis di bawah seksyen 2A Akta Kediaman Terhad 1933 [Akta 377]. Pertubuhan Seni Mempertahankan Diri 27 UNDANG-UNDANG MALAYSIA Akta 170 AKTA PERTUBUHAN SENI MEMPERTAHANKAN DIRI 1976 SENARAI PINDAAN Undang-undang Tajuk ringkas Berkuat kuasa yang meminda dari P.U. (A) 281/2002 Perintah Penyemakan 12-07-2002 Undang-Undang (Pembetulan Akta Pertubuhan Seni Mempertahankan Diri 1976) 2002 P.U. (A) 225/2003 Perintah Penyemakan 27-06-2003 Undang-Undang (Pembetulan Akta Pertubuhan Seni Mempertahankan Diri 1976) 2003 28 Undang-Undang Malaysia AKTA 170 UNDANG-UNDANG MALAYSIA Akta 170 AKTA PERTUBUHAN SENI MEMPERTAHANKAN DIRI 1976 SENARAI SEKSYEN YANG DIPINDA Seksyen Kuasa meminda Berkuat kuasa dari – TIADA –
Provision text is displayed from LexChat’s stored statute record. Use the official source links to verify amendments, commencement, and current legal force.
Ask AI about this statute
170 - AKTA PERTUBUHAN SENI MEMPERTAHANKAN DIRI 1976
Sign in to ask AI about this statute
Sign in to start authenticated, citation-grounded statute research.
Sign in