220 - *AKTA HARI KELEPASAN MINGGUAN 1950
This Act sets weekly closing and leave rules for shops, restaurants, and theatres, and gives the Minister and the Director General powers to make exemptions, set rules, and enforce compliance.
AI-assisted research synopsis — verify against the official legal text below.
- Jurisdiction
- Malaysia
- Instrument
- Act or statute
- Version
- Undated source snapshot
- Language
- en
- Official source
- View official record ↗
Statute overview
About this statute
This page preserves the statute’s identified version, provision structure, official source link, and stored legal text for reading and research.
Search within this statute
Search all stored provisions in this version.
Legal text
Provisions of 220 - *AKTA HARI KELEPASAN MINGGUAN 1950
Showing 1 of 1
- § Verify source ↗
220 - *AKTA HARI KELEPASAN MINGGUAN 1950
AI-assisted research summary: This Act sets weekly closing and leave rules for shops, restaurants, and theatres, and gives the Minister and the Director General powers to make exemptions, set rules, and enforce compliance.
UNDANG-UNDANG MALAYSIA VERSI ATAS TALIAN TEKS CETAKAN SEMULA YANG KEMAS KINI Akta 220 AKTA HARI KELEPASAN MINGGUAN 1950 Sebagaimana pada 1 Mei 2015 2 AKTA HARI KELEPASAN MINGGUAN 1950 Pertama kali diperbuat … … … … … 1950 (Ordinan No. 47 Tahun 1950 Disemak … … … … … 1979 (Akta 220 berkuat kuasa dari 15 Jun 1979) Kali terakhir dipinda melalui Akta 160 yang mula berkuat kuasa pada … … … … 29 Ogos 1975 3 UNDANG-UNDANG MALAYSIA Akta 220 AKTA HARI KELEPASAN MINGGUAN 1950 SUSUNAN SEKSYEN Seksyen 1. Tajuk ringkas dan pemakaian 2. Tafsiran 3. Penutupan kedai 4. Peruntukan mengenai kedai yang menjalankan lebih daripada satu perniagaan 5. Penutupan atau hari kelepasan separuh hari tambahan 6. Hari kelepasan mingguan bagi kedai, restoran dan panggung 7. Kedai ditutup pada lima hari tambahan tiap-tiap tahun 8. Tiada potongan atau kurangan dibuat terhadap gaji 9. Pentadbiran Akta 10. Kuasa Inspektor 11. Penalti 12. Pengecualian daripada pemakaian Akta ini 13. Kuasa untuk mengecualikan 14. Kaedah-kaedah JADUAL 5 UNDANG-UNDANG MALAYSIA Akta 220 AKTA HARI KELEPASAN MINGGUAN 1950 Suatu Akta bagi membuat peruntukan mengenai hari kelepasan mingguan bagi orang yang diguna khidmat di kedai, restoran dan panggung. [1 Oktober 1951, L.N. 578/1951] Tajuk ringkas dan pemakaian 1. (1) Akta ini bolehlah dinamakan Akta Hari Kelepasan Mingguan 1950. (2) Akta ini hendaklah dipakai di Semenanjung Malaysia sahaja. Tafsiran 2. Dalam Akta ini melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain– “hari” ertinya suatu tempoh selama dua puluh empat jam bermula dari tengah malam; “kedai” ertinya semua premis yang saling berhubung secara langsung atau tempat-tempat berhampiran yang digunakan oleh mana-mana orang bagi– (a) mempamerkan barang-barang untuk jualan sebagai sebahagian daripada mana-mana perniagaan terkawal yang dijalankan olehnya; (b) penyimpanan, penyediaan, pemprosesan atau pengilangan barang-barang, sebahagian atau kesemua daripadanya 6 Undang-Undang Malaysia AKTA 220 yang biasa dijual dalam urusan mana-mana perniagaan terkawal yang dijalankan olehnya; atau (c) apa-apa maksud lain perniagaan terkawal yang dijalankan olehnya, atau, jika hanya sebahagian daripada mana-mana premis atau tempat digunakan sedemikian, bererti bahagian itu: Dengan syarat bahawa istilah “kedai” tidaklah termasuk restoran atau mana-mana bazar bagi maksud khairat atau awam, atau mana-mana bilik atau bengkel berasingan yang digunakan secara eksklusif bagi penyimpanan, penyediaan, pemprosesan atau pengilangan barang-barang dari jenis yang biasanya dijual dalam kuantiti yang besar selain sebagai sebahagian daripada perniagaan perniagaan terkawal; “kedai tanpa pembantu” ertinya mana-mana kedai yang perniagaan terkawal dijalankan oleh tuan punya tunggal tanpa pembantu selain suami, isteri atau seorang daripada anak-anak tuan punya itu; “Ketua Pengarah” ertinya Ketua Pengarah Tenaga Kerja; “minggu” ertinya suatu tempoh antara tengah malam mana-mana malam hari Sabtu dan tengah malam malam hari Sabtu yang berikutnya; “panggung” termasuklah mana-mana premis yang terutamanya atau keseluruhannya dimaksudkan untuk menunjukkan gambar bergerak, persembahan drama atau hiburan pentas atau untuk kegunaan sebagai dewan tari-menari; “pengurus” ertinya mana-mana orang yang dilantik untuk menjaga atau mengurus suatu kedai, panggung atau restoran; “perniagaan terkawal” ertinya mana-mana satu atau lebih daripada tred atau perniagaan yang berikut, iaitu mana-mana tred atau perniagaan runcit (termasuk jualan runcit dengan cara lelong tetapi tidak termasuk jualan program dan katalog serta jualan lain yang serupa di panggung dan tempat hiburan), jualan di bawah lesen likuor yang memabukkan, perniagaan broker gadaian, tukang gunting rambut, pendandan rambut, tukang jahit, tukang dobi, tukang cuci kering, tukang celup dan mana-mana perniagaan borong yang Hari Kelepasan Mingguan 7 diisytiharkan oleh Menteri, melalui pemberitahuan dalam Warta, menjadi perniagaan terkawal bagi maksud Akta ini; “restoran” ertinya sesuatu premis yang menjalankan perniagaan utama atau keseluruhannya untuk membekalkan makanan atau minuman kepada orang ramai atau satu kelas daripada mereka untuk dimakan atau diminum di premis itu; “Semenanjung Malaysia” mempunyai erti yang diberi kepadanya dalam seksyen 3 Akta Tafsiran 1948 dan 1967 [Akta 388], dan termasuklah Wilayah Persekutuan; “tuan punya” ertinya pemunya perniagaan terkawal dalam mana-mana kedai atau pemegang lesen mana-mana panggung atau restoran. Penutupan kedai 3. (1) Tiap-tiap kedai yang tidak termasuk dalam mana-mana kelas kedai yang disebut dalam Jadual hendaklah ditutup sama sekali sama ada pada hari Jumaat atau hari Ahad dalam setiap minggu, sebagaimana yang dipilih oleh tuan punya atau pengurus, dan tiap-tiap orang yang diambil kerja di kedai itu hendaklah diberi kelepasan sepenuhnya pada hari tersebut: Dengan syarat bahawa– (a) kedai tanpa pembantu boleh dibuka pada kedua-dua hari Jumaat dan hari Ahad dalam setiap minggu dengan syarat bahawa sama ada pada hari Jumaat atau hari Ahad dalam setiap minggu hanya tuan punya yang melayan pelanggan; (b) Ketua Pengarah boleh, atas permohonan yang dibuat kepadanya bagi maksud itu, mengikut cara yang ditetapkan oleh tuan punya atau pengurus mana-mana kedai, memberi kebenaran bertulis untuk mengambil hari lain dalam mana-mana minggu tertentu bagi menggantikan hari yang telah dipilih oleh tuan punya atau pengurus tersebut, dan subseksyen ini hendaklah terpakai sewajarnya pada hari tersebut dan bukan pada hari yang telah dipilih dalam minggu itu; dan 8 Undang-Undang Malaysia AKTA 220 (c) Ketua Pengarah boleh, atas permohonan yang dibuat kepadanya oleh tuan punya atau pengurus, memberi kebenaran bertulis bahawa dalam mana-mana minggu yang tertentu suatu pekerjaan yang ditentukan akan dibuat di dalam mana-mana kedai pada hari yang mana menurut subseksyen ini kedai itu sepatutnya ditutup sama sekali; dan Ketua Pengarah hendaklah, jika dia memberi kebenaran bertulis itu, menentukan hari dalam minggu yang tertentu itu atau di dalam minggu berikutnya supaya semua orang yang membuat kerja yang ditentukan itu diberi hari kelepasan penuh sebagai ganti hari kelepasan yang sepatutnya diberikan kepada mereka di bawah subseksyen ini. (2) Tuan punya atau pengurus hendaklah menyatakan dalam notis, mengikut bentuk yang ditetapkan, hari dalam setiap minggu yang sesebuah kedai ditutup menurut subseksyen (1) dan hendaklah mempamerkan notis itu secara kekal di tempat yang mudah dilihat dalam kedai itu. (3) Hari yang dipilih oleh tuan punya atau pengurus mengikut subseksyen (1) tidak boleh diubah oleh tuan punya atau pengurus lebih kerap daripada sekali dalam enam bulan. (4) Tuan punya kedai tanpa pembantu hendaklah menyatakan dalam notis sebagaimana yang ditetapkan hari dalam setiap minggu yang hanya dia yang akan melayan pelanggan sebagaimana yang diperuntukkan dalam proviso perenggan (1)(a) dan hendaklah mempamerkan notis itu secara kekal di tempat yang mudah dilihat dalam kedai tanpa pembantu tersebut. (5) Menteri boleh dari semasa ke semasa melalui pemberitahuan dalam Warta menambah, mengubah, atau meminda Jadual. Peruntukan mengenai kedai yang menjalankan lebih daripada satu perniagaan 4. Jika beberapa tred atau perniagaan dijalankan dalam kedai yang sama, dan mana-mana daripada tred atau perniagaan itu adalah daripada jenis yang jika tred atau perniagaan itu sahaja yang dijalankan dalam kedai itu, kedai itu akan dikecualikan daripada peruntukan seksyen 3, pengecualian hendaklah terpakai bagi kedai itu Hari Kelepasan Mingguan 9 setakat yang melibatkan penjalanan tred atau perniagaan itu, tertakluk, walau bagaimanapun, kepada syarat yang akan ditetapkan. Penutupan atau hari kelepasan separuh hari tambahan 5. (1) Menteri boleh, melalui pemberitahuan dalam Warta, berkenaan dengan semua kedai atau mana-mana kelas kedai yang ditentukan selain kedai tanpa pembantu dan kedai yang termasuk dalam mana-mana kelas kedai yang disebut dalam Jadual menghendaki supaya kedai itu ditutup pada mana-mana waktu tengah hari pada satu hari dalam tiap-tiap minggu sebagai tambahan kepada hari yang diperuntukan oleh seksyen 3, sebagaimana yang dinyatakan dalam pemberitahuan itu. (2) Apabila mana-mana kedai ditutup di bawah subseksyen (1) tiap-tiap orang yang diambil kerja di dalamnya hendaklah diberi hari kelepasan, sebagai tambahan kepada mana-mana hari kelepasan yang diberi di bawah seksyen 3, 6 atau 7, dalam mana-mana tempoh kedai itu ditutup. (3) Menteri boleh, bagi maksud seksyen ini menyatakan waktu atau hari yang berlainan bagi kedai yang berlainan atau kelas kedai yang berlainan atau bagi kawasan yang berlainan atau bagi masa yang berlainan bagi tahun itu. (4) Tuan punya atau pengurus hendaklah menyatakan dalam notis, mengikut bentuk yang ditetapkan, hari dalam setiap minggu yang sesebuah kedai ditutup menurut kehendak subseksyen (1) dan hendaklah mempamerkan notis itu secara kekal di tempat yang mudah dilihat dalam kedai itu. Hari kelepasan mingguan bagi kedai, restoran dan panggung 6. (1) Tiap-tiap orang yang diambil kerja dalam mana-mana kedai, restoran atau panggung selain kedai tanpa pembantu, dalam kelas kedai yang disebut dalam Jadual, atau dalam mana-mana restoran atau panggung hendaklah diberi kelepasan sehari penuh dalam setiap minggu: Dengan syarat bahawa tiada apa-apa dalam seksyen ini terpakai bagi mana-mana yang bekerja kurang daripada enam hari dan kurang 10 Undang-Undang Malaysia AKTA 220 daripada empat puluh jam seminggu, orang itu dianggap telah bekerja pada mana-mana hari yang dia telah bekerja bagi sejumlah masa yang tidak kurang daripada empat jam. (2) Ketua Pengarah boleh, melalui pemberitahuan dalam Warta, mengecualikan mana-mana kelas tertentu pekerja daripada pemakaian subseksyen (1). Kedai ditutup pada lima hari tambahan tiap-tiap tahun 7. (1) Sebagai tambahan kepada hari kelepasan lain yang ditetapkan oleh Akta ini, tiap-tiap kedai, selain kedai tanpa pembantu atau kedai yang termasuk dalam mana-mana kelas kedai yang disebut dalam Jadual, hendaklah ditutup sama sekali selama tidak kurang daripada lima hari tiap-tiap tahun yang akan dipilih oleh tuan punya atau pengurus dan tiap-tiap orang yang diambil kerja dalam mana- mana kedai itu akan diberi kelepasan sepenuhnya pada setiap hari itu. (2) Tuan punya atau pengurus hendaklah menyatakan dalam notis, mengikut bentuk yang ditetapkan, hari yang dipilih mengikut subseksyen (1) dan hendaklah mempamerkan notis itu secara kekal di tempat yang mudah dilihat dalam kedai itu. (3) Sebagai tambahan kepada hari kelepasan yang dikehendaki diberi mengikut subseksyen 6(1) tiap-tiap orang yang diambil kerja dalam kedai daripada kelas yang disebut dalam Jadual atau dalam mana-mana restoran atau panggung hendaklah diberi hari kelepasan sepenuhnya pada lima hari lain dalam setiap tahun yang dipilih oleh tuan punya atau pengurus. (4) Jika dalam mana-mana tahun, mana-mana hari yang telah dipilih oleh tuan punya atau pengurus menurut subseksyen (1) ialah hari yang kedainya dikehendaki ditutup sama sekali di bawah seksyen 3, hari yang berikutnya yang kedai itu sepatutnya dibuka, hendaklah dianggap sebagai hari yang dipilih menurut subseksyen (1) dan kedai itu hendaklah ditutup sama sekali pada hari tersebut. Hari Kelepasan Mingguan 11 Tiada potongan atau kurangan dibuat terhadap gaji 8. (1) Tiada potongan atau kurangan boleh dibuat terhadap gaji mana-mana orang oleh sebab mana-mana hari kelepasan yang diberi di bawah seksyen 3, 6 atau 7. (2) Seseorang yang diberi hari kelepasan di bawah seksyen 5 berkenaan dengan hari kelepasan itu hendaklah dibayar gaji yang sepatutnya dia peroleh seolah-olah dia bekerja dalam tempoh bahagian hari yang hari kelepasan itu diberikan. Pentadbiran Akta 9. (1) Ketua Pengarah hendaklah menjadi pegawai yang bertanggungjawab bagi pentadbiran am Akta ini. (2) Ketua Pengarah boleh sama ada secara am atau khusus mengarah mana-mana Pengarah Tenaga Kerja Negeri atau Penolong Pengarah Tenaga Kerja Negeri atau, dengan persetujuan Menteri, mana-mana pegawai awam lain menggunakan, melaksanakan atau menjalankan apa-apa kuasa, tugas atau fungsi Ketua Pengarah di bawah Akta ini atau di bawah mana-mana kaedah yang dibuat di bawahnya. (3) Yang di-Pertuan Agong boleh, melalui pemberitahuan dalam Warta, melantik seseorang sebagai Inspektor bagi maksud Akta ini dalam had kawasan tempatan sebagaimana ditetapkan olehnya. (4) Tiap-tiap Inspektor yang dilantik di bawah seksyen ini hendaklah disifatkan sebagai pekhidmat awam dalam erti Kanun Keseksaan [Akta 574]. (5) Ketua Pengarah dan mana-mana Pengarah Tenaga Kerja Negeri atau Penolong Pengarah Tenaga Kerja Negeri boleh menggunakan mana-mana atau kesemua kuasa Inspektor. Kuasa Inspektor 10. (1) Tertakluk kepada mana-mana kaedah-kaedah yang dibuat di bawah Akta ini oleh Menteri, seseorang Inspektor boleh pada 12 Undang-Undang Malaysia AKTA 220 bila-bila masa yang munasabah dalam had kawasan tempatan yang dia dilantik– (a) memasuki dan berada dalam mana-mana kedai, panggung atau restoran yang Akta ini terpakai dan dalam mana-mana kuarter, rumah atau tempat tinggal lain di mana orang yang diambil kerja dalam premis tersebut tinggal atau bermalam; (b) membuat apa-apa pemeriksaan terhadap mana-mana kedai, restoran, panggung, kuarter, rumah atau tempat tinggal lain dan apa-apa rekod, daftar atau notis yang disenggara di dalamnya, menurut kaedah-kaedah yang dibuat di bawah subseksyen 14(2), dan mengambil dengan serta-merta atau dengan cara lain keterangan mana-mana orang yang dianggap perlu bagi menjalankan maksud Akta ini. (2) Mana-mana orang yang ada dalam jagaannya apa-apa rekod, daftar atau notis yang disenggara menurut kaedah-kaedah yang dibuat di bawah subseksyen 14(2) adalah terikat untuk mengemukakan rekod, daftar atau notis itu apabila dikendaki oleh Inspektor, tetapi tiada seorang pun boleh dipaksa untuk menjawab apa-apa soalan jika jawapan itu boleh secara langsung atau tidak langsung melibatkan dirinya. Penalti 11. Jika berlaku apa-apa– (a) pelanggaran terhadap seksyen 3, 5, 6, 7 atau 8 atau apa-apa kehendak yang dibuat dengan sewajarnya di bawahnya; (b) pelanggaran mana-mana kaedah yang dibuat di bawah perenggan 14(2) (a) atau 14(2) (c); atau (c) kemungkiran syarat yang dikemukakan di bawah seksyen 4, tuan punya dan pengurus tempat berkenaan dengan pelanggaran atau kemungkiran yang berlaku, boleh, apabila disabitkan, didenda bagi Hari Kelepasan Mingguan 13 kesalahan pertama, tidak melebihi dua ratus lima puluh ringgit, bagi kesalahan kedua, tidak melebihi lima ratus ringgit dan kesalahan ketiga atau berikutnya, tidak melebihi satu ribu ringgit. Pengecualian daripada pemakaian Akta ini 12. Tiada apa-apa peruntukan dalam Akta ini terpakai bagi premis yang disenggara oleh Kerajaan semata-mata untuk urusan Pejabat Pos. Kuasa untuk mengecualikan 13. Menteri boleh mengecualikan mana-mana premis atau kelas premis daripada kesemua atau mana-mana peruntukan Akta ini. Kaedah-kaedah 14. (1) Menteri boleh membuat kaedah-kaedah bagi menjalankan maksud Akta ini. (2) Khususnya dan tanpa menyentuh keluasan kuasa yang disebut sebelum ini, kaedah-kaedah tersebut boleh– (a) menetapkan apa-apa perkara yang dikehendaki ditetapkan atau yang boleh ditetapkan di bawah Akta ini; (b) mengawal penggunaan kuasa dan perlaksanaan tugas Inspektor; (c) menghendaki supaya daftar dan rekod disenggara dan menetapkan notis dipamerkan dalam tempat yang baginya Akta ini terpakai serta bentuk dan kandungan dan cara bagaimana notis itu dipamerkan. (3) Semua kaedah-kaedah yang dibuat di bawah seksyen ini hendaklah disiarkan dalam Warta dan hendaklah dibentangkan dengan seberapa segera yang sesuai di hadapan Dewan Rakyat yang boleh, melalui ketetapan, meminda, meluluskan atau tidak meluluskannya. Semua kaedah yang diluluskan oleh Dewan Rakyat 14 Undang-Undang Malaysia AKTA 220 dengan apa-apa pindaan jika ada, hendaklah mula berkuat kuasa dari tarikh ketetapan yang meluluskan kaedah-kaedah tersebut. JADUAL [Seksyen 3] (a) Premis yang digunakan untuk menjalankan jualan runcit bahan api daripada pam atau alat ganti bagi kenderaan, atau bagi membaiki atau menyenggara kenderaan. (b) Premis yang digunakan menjalankan urusan berhubung dengan upacara pengebumian. (c) Premis yang digunakan untuk menjalankan urusan ahli farmasi, ahli kimia atau ahli ubat-ubatan. (d) Premis yang digunakan bagi keperluan kapal untuk membekalkan makanan, barang-barang atau keperluan lain bagi kapal apabila kapal berlabuh di pelabuhan atau sebelum berlayar. (e) Premis yang digunakan sebagai kandang kuda atau garaj. (f) Premis yang digunakan bagi perniagaan oleh mana-mana orang perseorangan atau syarikat untuk membuat air batu secara tiruan. (g) Premis yang digunakan untuk jualan surat khabar atau penghantarannya. (h) Premis yang digunakan untuk jualan dan penghantaran susu segar, krim, daging, ikan, roti, buah-buahan, sayur-sayuran atau bahan makanan lain yang mudah rosak sifatnya. (i) Premis yang digunakan untuk jualan likuor yang memabukkan sebagai sebahagian daripada perniagaan suatu hotel atau rumah tumpangan atau sebagai sebahagian daripada kemudahan sesuatu kelab. (j) Premis yang digunakan untuk menjalankan perniagaan terkawal dan terletak dalam– (i) mana-mana lapangan terbang antarabangsa; (ii) mana-mana stesen kereta api; (iii) mana-mana hotel; (iv) mana-mana aked beli-belah atau kompleks beli-belah sebagaimana yang diluluskan oleh Menteri atas permohonan. Hari Kelepasan Mingguan 15 (k) Premis yang diduduki oleh tukang dobi, tukang cuci kering dan tukang celup. (l) Premis yang terletak di dalam mana-mana tempat tentera Persekutuan dan digunakan oleh mana-mana orang yang diberi kuasa untuk menjalankan perniagaan terkawal. (m) Premis yang digunakan untuk menjalankan jualan runcit– (i) bunga dan tumbuh-tumbuhan; atau (ii) binatang hidup dalam kedai binatang kesayangan, kedai burung dan kedai lain yang seumpamanya. (n) Premis yang dijadikan Pasar raya dan Cold Storage yang menjalankan perniagaan terkawal sebagaimana yang diluluskan oleh Menteri atas permohonan. (o) Premis yang digunakan untuk jualan dan penghantaran gas dalam silinder untuk bahan api. (p) Premis yang digunakan untuk jualan colok, kertas jos, lilin dan keperluan lain keagamaan atau keperluan pengebumian. (q) Premis yang digunakan bagi mempamerkan barang-barang untuk jualan berhubung dengan suatu perniagaan terkawal yang mempunyai sepuluh orang pekerja atau lebih. (r) Premis yang digunakan untuk mempamerkan barang-barang untuk jualan berhubung dengan suatu perniagaan terkawal yang dijalankan oleh syarikat kerjasama yang didaftarkan di bawah *Ordinan Syarikat Kerjasama 1948 [F.M. Ord. 33 tahun 1948] *CATATAN–Ordinan Syarikat Kerjasama 1948 telah disemak dan dinamakan sebagai Akta Koperasi 1948 [Akta 287] dan kemudiannya telah dimansuhkan oleh Akta Koperasi 1993 [Akta 502]–lihat perenggan 95(1)(a) Akta 502. 15 UNDANG-UNDANG MALAYSIA Akta 220 AKTA HARI KELEPASAN MINGGUAN 1950 SENARAI PINDAAN Undang-undang Tajuk ringkas Berkuat kuasa yang meminda dari P.U. 542/1951 Pindaan Jadual 20-09-1951 Ord. 65/1957 Ordinan Hari Kelepasan Mingguan 15-01-1958 (Pindaan) 1957 P.U. 332/1958 Perintah Perlembagaan Persekutuan 13-11-1958 (Pengubahsuaian Undang-undang) (Ordinan dan Pengisytiharan) 1958 P.U. 142/61 Pindaan Jadual 04-05-1961 Akta 37/1961 Akta Hari Kelepasan Mingguan 21-09-1961 (Pindaan) 1961 P.U. 286/1962 15-11-1962 Pindaan Jadual P.U. 340/1967 Pindaan Jadual 03-08-1967 P.U. (B) 200/1969 Pindaan Jadual 22-08-1969 P.U. (B) 240/1969 Pindaan Jadual 03-10-1969 P.U. (B) 263/1969 Pindaan Jadual 01-11-1969 P.U. (B) 19/1970 Pindaan Jadual 16-01-1970 P.U. (B) 87/1970 Pindaan Jadual 10-04-1970 P.U. (B) 324/1970 Nama Jawatan – Pemberitahuan 01-09-1970 P.U. (B) 340/1971 Pindaan Jadual 07-10-1971 P.U. (B) 316/1972 Pindaan Jadual 04-08-1972 Akta 160 Akta Mata wang Malaysia (Ringgit) 1975 29-08-1975 16 UNDANG-UNDANG MALAYSIA Akta 220 AKTA HARI KELEPASAN MINGGUAN 1950 SENARAI SEKSYEN YANG DIPINDA Seksyen Kuasa meminda Berkuat kuasa dari 2 Ord. 65/1959 15-01-1958 L.N. 332/1958 13-11-1958 Akta 37/1961 21-09-1961 P.U. (B) 324/1970 10-09-1970 3 L.N. 332/1958 13-11-1958 3A Ord. 65/1957 15-01-1958 5 L.N. 332/1958 13-11-1958 6 Ord. 65/1957 15-01 -1958 7 Ord. 65/1957 15-01-1958 Akta 37/1961 21-09-1961 8 Akta 37/1961 21-09-1961 9 L.N. 332/1958 13-11-1958 Akta 37/1961 21-09-1961 10 P.U. (B) 324/1970 01-09-1970 L.N. 332/1958 13-11-1958 11 Ord. 65/1957 15-01-1958 Akta 160 29-08-1975 13 L.N. 332/1958 13-11-1958 14 L.N. 332/1958 13-11-1958 Jadual L.N. 542/1951 20-09-1951 L.N. 142/1961 04-05-1961 L.N. 286/1962 15-11-1962 P.U. 340/1967 03-08-1967 P.U. (B) 200/1969 22-08-1969 18 Undang-Undang Malaysia AKTA 220 Seksyen Kuasa meminda Berkuat kuasa dari P.U. (B) 240/1969 03-10-1969 P.U. (B) 263/1969 01-11-1969 P.U. (B) 19/1970 16-01-1970 P.U. (B) 87/1970 10-04-1970 P.U. (B) 340/1971 07-10-1971 P.U. (B) 316/1972 04-08-1972
Provision text is displayed from LexChat’s stored statute record. Use the official source links to verify amendments, commencement, and current legal force.
Ask AI about this statute
220 - *AKTA HARI KELEPASAN MINGGUAN 1950
Sign in to ask AI about this statute
Sign in to start authenticated, citation-grounded statute research.
Sign in