493 - *AKTA HIBURAN (WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR) 1992
This Act requires licences for entertainment and entertainment venues in Kuala Lumpur, and sets rules for applications, display, transfers, inspections, closures, ticket sales, under-21 liquor sales, and enforcement.
AI-assisted research synopsis — verify against the official legal text below.
- Jurisdiction
- Malaysia
- Instrument
- Act or statute
- Version
- Undated source snapshot
- Language
- en
- Official source
- View official record ↗
Statute overview
About this statute
This page preserves the statute’s identified version, provision structure, official source link, and stored legal text for reading and research.
Search within this statute
Search all stored provisions in this version.
Legal text
Provisions of 493 - *AKTA HIBURAN (WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR) 1992
Showing 1 of 1
- § Verify source ↗
493 - *AKTA HIBURAN (WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR) 1992
AI-assisted research summary: This Act requires licences for entertainment and entertainment venues in Kuala Lumpur, and sets rules for applications, display, transfers, inspections, closures, ticket sales, under-21 liquor sales, and enforcement.
UNDANG-UNDANG MALAYSIA VERSI ATAS TALIAN TEKS CETAKAN SEMULA YANG KEMAS KINI Akta 493 AKTA HIBURAN (WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR) 1992 Sebagaimana pada 1 Februari 2013 2 AKTA HIBURAN (WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR) 1992 Tarikh Perkenan Diraja … … … … 1 September 1992 Tarikh penyiaran dalam Warta … … … 3 September 1992 Kali terakhir dipinda melalui Akta A1194 yang mula berkuat kuasa pada … … … … … 1 April 2004 3 UNDANG-UNDANG MALAYSIA Akta 493 AKTA HIBURAN (WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR) 1992 SUSUNAN SEKSYEN Seksyen 1. Nama, pemakaian dan permulaan kuat kuasa 2. Tafsiran 3. Kuasa Menteri untuk mengeluarkan arahan 4. Kehendak bagi mendapatkan lesen 5. Permohonan bagi mendapatkan lesen 6. Kuasa untuk menghendaki maklumat 7. Tempoh lesen 8. Lesen hendaklah dipamerkan 9. Lesen tidak boleh diperbaharui sebagai suatu hak 9A. Pemindahan lesen 10. Jaminan 11. Pembatalan lesen 12. Rayuan 13. Larangan menjual, dsb., tiket bagi sesuatu hiburan dan mengiklankan atau menyerantakannya sebelum mendapat lesen 14. Sekatan ke atas penjualan tiket tanpa kebenaran 14A. Larangan mengenai penjualan minuman keras yang memabukkan kepada orang yang berumur di bawah dua puluh satu 4 Undang-Undang Malaysia AKTA 493 Seksyen 15. Pengecualian 16. Kuasa untuk masuk dan menyiasat 17. Kuasa menutup 18. Kuasa untuk menghendaki butir-butir 19. Kuasa penangkapan 20. Penggeledahan 21. Kuasa menyita 22. Benda yang disita boleh dikenakan pelucuthakan 23. Mahkamah hendaklah memerintahkan pelepasan atau pelucuthakan benda yang disita 24. Benda yang disita yang berkenaan dengannya tiada pendakwaan disifatkan telah terlucut hak jika tidak dituntut dalam masa satu bulan 25. Halangan 26. Liabiliti pengarah, dsb. 27. Pendakwaan 28. Pengkompaunan kesalahan 29. Penalti am 29A. Bidang kuasa mahkamah Majistret Kelas Pertama 30. Kuasa untuk membuat kaedah-kaedah 31. Pemansuhan dan kecualian 5 UNDANG-UNDANG MALAYSIA Akta 493 AKTA HIBURAN (WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR) 1992 Suatu Akta untuk membuat peruntukan bagi pelesenan dan pengawalan hiburan dan tempat hiburan dan perkara yang bersampingan dengannya. [1 Oktober 1993, P.U. (B) 393/1993] MAKA INILAH DIPERBUAT UNDANG-UNDANG oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat dan persetujuan Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang bersidang dalam Parlimen, dan dengan kuasa daripadanya, seperti yang berikut: Nama, pemakaian dan permulaan kuat kuasa 1. (1) Akta ini bolehlah dinamakan Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992. (2) Akta ini hendaklah dipakai hanya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur*. (3) Akta ini hendaklah mula berkuat kuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Menteri melalui pemberitahuan dalam Warta. Tafsiran 2. Dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain— *CATATAN—Pemakaian ke Wilayah Persekutuan Labuan melalui pengubahsuaian — lihat P.U. (A) 395/2010 yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2011. 6 Undang-Undang Malaysia AKTA 493 “hiburan” termasuklah— (a) lakon, opera, pantomim, lakonan aneka ragam, persembahan muzik, nyanyian, tarian, gimnastik, pertunjukan seni mempertahankan diri, akrobat dan silap mata, pertandingan ratu cantik, tablo, pertunjukan, peragaan dan perarakan, yang didalamnya orang hidup mengambil bahagian: (b) pertunjukan bunga api, alatan set, perhiasan peringatan dan rupaan makhluk benar atau khayalan; (c) sarkas dan pameran binatang; (d) pameran model, bahan bacaan, gambar, fotograf atau rupaan patung atau rupaan lain bentuk manusia atau binatang; (e) pameran filem sinematograf, wayang gambar video dan pertunjukan boneka; (f) reproduksi atau siaran, dengan apa-apa cara jua pun selain telefoni atau telefoni radio, bagi apa-apa muzik, lagu atau ucapan, selain yang berkaitan dengan sesuatu filem sinematograf; (g) mesin dan peranti yang, jika dimanipulasi, memberikan peluang untuk memenangi hadiah dalam bentuk wang atau barang; (h) permainan meja pinbal dan video; (i) apa-apa jenis pertandingan sukan seberapa banyak orang atau binatang; (j) pertandingan terancang bagi permainan kemahiran atau nasib; (k) pesta perdagangan yang terdiri daripada pameran, iklan atau jualan hasil industri atau bahan-bahan; Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 7 (l) apa-apa kombinasi bagi mana-mana bentuk hiburan yang tersebut di atas; atau (m) apa-apa hiburan lain yang diisytiharkan oleh Menteri dari semasa ke semasa melalui perintah dalam Warta, di mana-mana tempat yang orang ramai dibenarkan masuk dengan atau tanpa bayaran wang atau balasan lain; “mahkamah” ertinya mahkamah Majistret Kelas Pertama; “meja pinbal” ertinya apa-apa meja, papan atau alatan lain, yang dikendalikan dengan syiling atau cakera, yang direka bentuk untuk membolehkan pengendalinya bermain suatu permainan, yang kejayaannya diukur dengan pendorongan satu atau lebih daripada satu objek bergerak ke arah sasaran atau matlamat atau dengan pemerolehan suatu bilangan mata atau dengan kedua-duanya: “Menteri” ertinya Menteri yang bertanggungjawab bagi kerajaan tempatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; “orang diberi kuasa” ertinya mana-mana orang yang khas diberi kuasa oleh Dato Bandar secara bertulis bagi maksud itu; “Dato Bandar” ertinya Dato Bandar Kuala Lumpur yang dilantik di bawah seksyen 4 Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 [Akta 190]; “tempat hiburan” ertinya mana-mana tempat yang di atasnya ada apa-apa binaan atau struktur, apa-apa premis atau bangunan sama ada sementara atau kekal atau apa-apa perahu di air atau mana-mana tempat lain yang di dalamnya atau di situ sesuatu hiburan diadakan dan yang ke situ orang ramai dibenarkan masuk dengan atau tanpa bayaran, dan termasuklah sesuatu taman hiburan. Kuasa Menteri untuk mengeluarkan arahan 3. Menteri boleh dari semasa ke semasa memberi Dato Bandar arahan yang bersifat am, dan yang selaras dengan 8 Undang-Undang Malaysia AKTA 493 peruntukan-peruntukan Akta ini, tentang penjalanan kuasa dan budi bicara yang diberikan kepada Dato Bandar oleh Akta ini atau mana-mana kaedah yang dibuat di bawahnya dan Dato Bandar hendaklah melaksanakan semua arahan sedemikian. Kehendak bagi mendapatkan lesen 4. (1) Tiada seorang pun boleh mengadakan hiburan di mana-mana tempat hiburan melainkan Dato Bandar telah memberi— (a) suatu lesen berkenaan dengan hiburan tersebut; dan (b) suatu lesen untuk membuka tempat hiburan tersebut. (2) Mana-mana orang yang melanggar seksyen ini adalah bersalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh dikenakan denda tidak kurang daripada sepuluh ribu ringgit tetapi tidak lebih daripada lima puluh ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya. (3) Bagi maksud seksyen ini, jika hiburan disediakan di mana-mana tempat hiburan— (a) pemunya, penerima pajak, penyewa utama, penduduk atau pengurus, mengikut mana-mana yang berkenaan, sesuatu tempat hiburan; atau (b) sekiranya orang yang disebut dalam perenggan (a) tiada, mana-mana orang yang didapati menjaga dan menguruskan tempat hiburan itu, hendaklah disifatkan telah menyediakan hiburan itu. Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 9 Permohonan bagi mendapatkan lesen 5. (1) Sesuatu permohonan bagi mendapatkan sesuatu lesen di bawah subseksyen 4(1) hendaklah dibuat dalam borang yang ditetapkan dan hendaklah dikemukakan kepada Dato Bandar. (2) Dato Bandar boleh, mengikut budi bicaranya, memberikan lesen dengan atau tanpa mengenakan apa-apa syarat kepadanya atau enggan memberikan lesen tersebut. (3) Jika sesuatu permohonan bagi mendapatkan sesuatu lesen dibenarkan, lesen tersebut hendaklah dikeluarkan apabila dibayar fi yang ditetapkan. (4) Tiada lesen hiburan boleh diberikan di bawah Akta ini melainkan suatu lesen telah diperoleh daripada Dato Bandar untuk membuka tempat hiburan di mana hiburan itu akan diadakan. (5) Dato Bandar hendaklah membayar masuk semua wang yang dikutip di bawah seksyen ini ke dalam kumpulan wang yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang berhubungan dengan kerajaan tempatan. Kuasa untuk menghendaki maklumat 6. (1) Bagi maksud menimbangkan sesuatu permohonan bagi mendapatkan lesen hiburan, Dato Bandar boleh menghendaki pemohon memberinya skrip, jika ada, dan apa-apa maklumat yang dinyatakan yang berhubungan dengan perkara yang berikut: (a) butir-butir mengenai orang yang terlibat dalam penganjuran hiburan itu atau kepentingan yang diwakili oleh orang itu; (b) butir-butir mengenai orang yang telah bersetuju untuk mengambil bahagian dalam hiburan itu atau yang telah mengambil bahagian dalam hiburan itu atau yang 10 Undang-Undang Malaysia AKTA 493 diundang untuk berbuat demikian dan kepentingan yang diwakili oleh orang itu; dan (c) tujuan yang baginya apa-apa keuntungan daripada hiburan itu dicadangkan hendak digunakan atau telah digunakan. (2) Bagi maksud seksyen ini, ungkapan “skrip” berhubungan dengan persembahan sesuatu lakon, ertinya teks lakon itu (sama ada yang dinyatakan dengan perkataan atau simbol muzik atau simbol lain) berserta dengan apa-apa arahan pentas atau arahan lain bagi persembahannya, sama ada terkandung dalam satu dokumen tunggal atau tidak. (3) Bagi maksud untuk menimbang sesuatu permohonan bagi mendapatkan lesen untuk membuka tempat hiburan, Dato Bandar boleh menghendaki pemohon membekalkan kepadanya apa-apa maklumat tambahan sebagaimana yang dikehendakinya. Tempoh lesen 7. Sesuatu lesen yang dikeluarkan di bawah Akta ini hendaklah bagi apa-apa tempoh yang ditentukan oleh Dato Bandar. Lesen hendaklah dipamerkan 8. Sesuatu lesen yang dikeluarkan di bawah Akta ini hendaklah pada setiap masa dipamerkan di tempat ketara di tempat hiburan. Lesen tidak boleh diperbaharui sebagai suatu hak 9. Sesuatu lesen tidaklah boleh diperbaharui sebagai suatu hak dan permohonan untuk memperbaharui sesuatu lesen hendaklah dikira sebagai permohonan untuk mendapat suatu lesen. Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 11 Pemindahan lesen 9A. Seseorang pemegang lesen tidak boleh memindahkan hakmilik lesennya kepada mana-mana orang melainkan jika dia mendapat kebenaran bertulis Dato Bandar terlebih dahulu. Jaminan 10. (1) Dato Bandar boleh menghendaki mana-mana orang yang kepadanya lesen telah diberikan memberikan jaminan dalam bentuk yang ditentukan olehnya untuk memastikan bahawa syarat atau sekatan lesen itu dan peruntukan-peruntukan Akta ini atau mana-mana kaedah yang dibuat di bawahnya adalah dipatuhi dengan sewajarnya. (2) Dato Bandar boleh, selepas memberi orang itu hak untuk didengar, melucuthakkan kesemua atau sebahagian daripada jaminan itu jika dia berpuas hati bahawa terdapat apa-apa pelanggaran syarat atau sekatan lesen itu atau pelanggaran peruntukan-peruntukan Akta ini atau mana-mana kaedah yang dibuat di bawahnya: Dengan syarat bahawa tiada apa-apa jua dalam seksyen ini boleh ditafsirkan sebagai menghalang mana-mana orang daripada dikenakan pendakwaan. (3) Dato Bandar hendaklah membayar masuk semua jaminan yang dilucuthakkan di bawah seksyen ini ke dalam kumpulan wang yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang berhubungan dengan kerajaan tempatan. Pembatalan lesen 11. (1) Dato Bandar boleh pada bila-bila masa membatalkan sesuatu lesen atau lesen untuk membuka tempat hiburan atau kedua-duanya jika telah berlaku pelanggaran syarat atau sekatan lesen atau lesen atau pelanggaran mana-mana 12 Undang-Undang Malaysia AKTA 493 peruntukan Akta ini atau mana-mana kaedah yang dibuat di bawahnya. (2) Penyampaian sesuatu notis pembatalan sesuatu lesen hendaklah dibuat dengan— (a) menampalkan suatu salinan notis itu di tempat hiburan; (b) menyampaikan suatu salinan notis itu kepada orang yang didapati menjaga dan menguruskan tempat hiburan itu; dan (c) menyampaikan suatu salinan notis kepada pemegang lesen itu sendiri jika sekiranya pemegang lesen dan orang yang disebutkan dalam perenggan (b) bukan orang yang sama. Rayuan 12. Seseorang pemohon yang permohonannya supaya dia diberi suatu lesen hiburan atau suatu lesen untuk membuka tempat hiburan di bawah Akta ini ditolak, atau pemegang suatu lesen yang telah dibatalkan, atau mana-mana orang yang terkilan dengan pengenaan apa-apa syarat atau sekatan yang berdasarkannya atau yang tertakluk kepadanya sesuatu lesen diberikan atau mana-mana orang yang terkilan dengan pelucuthakan jaminan di bawah seksyen 10, boleh, dalam masa tiga puluh hari selepas diberitahu secara bertulis tentang penolakan itu, atau pembatalan itu, atau pengenaan syarat atau sekatan atau pelucuthakan itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, merayu terhadap keputusan itu kepada Menteri, yang hendaklah mengesahkan atau mengetepikan keputusan itu dan keputusan Menteri itu adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan di mana-mana mahkamah. Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 13 Larangan menjual, dsb., tiket bagi sesuatu hiburan dan mengiklankan atau menyerantakannya sebelum mendapat lesen 13. (1) Adalah menyalahi undang-undang bagi mana-mana orang— (a) memberikan, membahagi-bahagikan, menjual atau menawarkan untuk menjual apa-apa tiket untuk menghadiri, atau mengundang mana-mana orang menghadiri, mana-mana hiburan atau menyebabkan apa-apa pemberian, pembahagian, penjualan, penawaran atau undangan sedemikian dibuat; atau (b) dengan apa-apa cara jua pun mengiklankan atau menyerantakan atau menyebabkan diiklankan atau diserantakan apa-apa hiburan yang hendak dipersembahkan di sesuatu tempat hiburan, melainkan jika suatu lesen telah diberikan di bawah seksyen 4 berkenaan dengan hiburan itu. (2) Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) adalah bersalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh dikenakan denda tidak kurang daripada lima ribu ringgit tetapi tidak lebih daripada lima puluh ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya. Sekatan ke atas penjualan tiket tanpa kebenaran 14. (1) Tiada seorang pun boleh menjual, atau menawarkan untuk mempamerkan atau ada dalam miliknya untuk dijual, atau memujuk rayu supaya dibeli, apa-apa tiket yang membenarkan atau berupa sebagai membenarkan kemasukan ke mana-mana tempat hiburan di mana-mana jalan lalu awam, atau di ruang masuk atau jalan masuk ke mana-mana tempat itu, kecuali di pejabat penjualan tiket, warung, lawang putar atau kaunter yang ditetapkan oleh tuan punya atau pengurus tempat itu atau oleh pengelola hiburan yang diadakan di dalamnya. 14 Undang-Undang Malaysia AKTA 493 (2) Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) adalah bersalah melakukan suatu kesalahan dan, apabila disabitkan, boleh dikenakan denda tidak kurang daripada satu ribu ringgit tetapi tidak lebih daripada lima ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. Larangan mengenai penjualan minuman keras yang memabukkan kepada orang yang berumur di bawah dua puluh satu 14A. (1) Tiada seorang pun yang kepadanya suatu lesen telah diberikan berkenaan dengan suatu tempat hiburan boleh membekalkan atau menjual atau membenarkan dibekalkan atau dijual atau membiarkan pembekalan atau penjualan minuman keras yang memabukkan di tempat hiburan itu kepada mana-mana orang yang berumur di bawah dua puluh satu tahun. (2) Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan. Pengecualian 15. Dato Bandar boleh, mengikut budi bicaranya, mengecualikan mana-mana hiburan atau kelas hiburan atau tempat-tempat hiburan atau kelas tempat-tempat hiburan yang dicadangkan secara eksklusif bagi maksud keagamaan, pendidikan, rekreasi, sosial, kebajikan atau khairat, dan bukan untuk maksud kepentingan kewangan daripada mana-mana peruntukan Akta ini. Kuasa untuk masuk dan menyiasat 16. (1) Dato Bandar, mana-mana pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada Inspektor, atau mana-mana orang diberi kuasa boleh, tanpa waran atau notis, memasuki mana-mana tempat hiburan di mana suatu hiburan sedang diadakan atau dicadangkan hendak diadakan, apabila terdapat sebab yang munasabah untuk mengesyaki bahawa syarat Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 15 atau sekatan apa-apa lesen yang diberikan di bawah Akta ini atau peruntukan-peruntukan Akta ini atau mana-mana kaedah yang dibuat di bawahnya tidak dipatuhi, dan boleh membuat apa-apa penyiasatan dan pemeriksaan tempat hiburan itu dan meminta mana-mana orang mengemukakan barang, buku, akaun, tiket atau dokumen atau benda lain dan memberikan apa-apa maklumat yang difikirkan perlu oleh pegawai atau orang itu bagi maksud itu: Dengan syarat bahawa mana-mana orang yang tidak memakai uniform yang berupa sebagai menjalankan apa-apa kuasa di bawah seksyen ini hendaklah, apabila diminta, menunjukkan surat kuasa bertulisnya untuk menjalankan kuasa ini kepada mana-mana orang yang meminta, secara sah, supaya surat kuasa itu ditunjukkan. (2) Dato Bandar, mana-mana pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada Inspektor, atau mana-mana orang diberi kuasa boleh, supaya dapat masuk ke dalam mana-mana tempat hiburan, memecah buka mana-mana pintu atau tingkap luar atau dalam tempat hiburan itu atau mana-mana bahagian tempat hiburan itu— (a) jika tempat hiburan itu buka, jika dia tidak dapat masuk dengan cara lain setelah mengemukakan surat kuasa bertulisnya dan setelah pemberitahuan maksudnya dan permintaan hendak masuk telah dibuat dengan sewajarnya; atau (b) jika tempat hiburan itu tutup dan berkunci, jika dia mempunyai alasan yang kukuh untuk mempercayai bahawa telah berlaku perlanggaran mana-mana syarat atau sekatan lesen yang telah diberikan di bawah Akta ini atau bahawa suatu kesalahan di bawah Akta ini atau mana-mana kaedah yang dibuat di bawahnya telah dilakukan. Kuasa menutup 17. Dato Bandar, mana-mana pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada Inspektor, atau mana-mana orang diberi kuasa yang 16 Undang-Undang Malaysia AKTA 493 diberi kuasa untuk menjalankan kuasa masuk dan menyiasat di bawah seksyen 16 boleh, tanpa menjejaskan penjalanan kuasa yang diberikan kepadanya oleh seksyen itu, dengan serta-merta mengambil langkah-langkah yang difikirkannya perlu untuk menutup mana-mana tempat hiburan jika dia berpuas hati bahawa telah berlaku pelanggaran mana-mana syarat atau sekatan lesen yang telah diberikan di bawah Akta ini atau bahawa hiburan yang diadakan di dalamnya melanggar apa-apa peruntukan Akta ini atau mana-mana kaedah yang dibuat di bawahnya. Kuasa untuk menghendaki butir-butir 18. Dato Bandar, mana-mana pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada Inspektor, atau mana-mana orang diberi kuasa boleh menghendaki mana-mana orang yang semunasabahnya dipercayai telah melakukan suatu kesalahan di bawah Akta ini atau mana-mana kaedah yang dibuat di bawahnya memberikan nama, nombor kad pengenalan dan alamatnya. Kuasa penangkapan 19. (1) Dato Bandar, mana-mana pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada Inspektor atau mana-mana orang diberi kuasa boleh menangkap tanpa waran— (a) mana-mana orang yang semunasabahnya dipercayai telah melakukan sesuatu kesalahan terhadap Akta ini atau mana-mana kaedah yang dibuat di bawahnya; atau (b) mana-mana orang yang enggan memberikan nama dan alamatnya apabila diminta atau jika ada sebab untuk meragui ketepatan nama dan alamat yang diberikannya. (2) Mana-mana orang yang ditangkap di bawah seksyen ini hendaklah dibawa ke balai polis dan hendaklah dibawa ke hadapan mahkamah dalam masa dua puluh empat jam kecuali, berkenaan dengan seseorang yang ditangkap di bawah perenggan (1)(b), jika Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 17 nama dan alamatnya dipastikan sebelum itu dan sesudah itu dia hendaklah dibebaskan atas jaminan. Penggeledahan 20. Dato Bandar, mana-mana pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada Inspektor, atau mana-mana orang diberi kuasa yang menjalankan kuasa masuk dan menyiasat di bawah seksyen 16 boleh, jika dia mempunyai alasan baik bagi mempercayai bahawa oleh sebab apa-apa kelenggahan untuk mendapatkan waran geledah tujuan penggeledahan itu mungkin akan terkecewa, dengan atau tanpa bantuan memasuki mana-mana tempat hiburan jika dia ada alasan munasabah bagi mempercayai bahawa suatu kesalahan di bawah Akta ini atau mana-mana kaedah yang dibuat di bawahnya telah dilakukan dan dia boleh menggeledah mana-mana tempat dan memeriksa mana-mana orang yang semunasabahnya dipercayai olehnya ada kaitan dalam pengurusan atau penganjuran apa-apa hiburan atau ialah seorang pekhidmat atau ejen penganjur itu atau pemunya tempat itu: Dengan syarat bahawa tiada perempuan boleh diperiksa kecuali oleh seorang perempuan. Kuasa menyita 21. (1) Dato Bandar, mana-mana pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada Inspektor, atau mana-mana orang diberi kuasa yang menjalankan kuasa masuk dan menyiasat di bawah seksyen 16 boleh menyita apa-apa dokumen atau benda yang semunasabahnya dipercayai olehnya mempunyai kaitan dengan kes itu atau memberikan keterangan tentang perlakuan sesuatu kesalahan di bawah Akta ini atau mana-mana kaedah yang dibuat di bawahnya: Dengan syarat bahawa tiada apa-apa jua dalam seksyen ini boleh disifatkan sebagai menyentuh kuasa seorang pegawai polis di bawah Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593]. 18 Undang-Undang Malaysia AKTA 493 (2) Dato Bandar, pegawai polis atau orang yang diberi kuasa yang menyita apa-apa dokumen atau benda di bawah subseksyen (1) hendaklah menyediakan suatu senarai dokumen dan benda yang disita dan dengan serta-merta menyerahkan suatu salinan yang ditandatangani olehnya kepada penduduk atau pemunya tempat hiburan atau pekhidmat atau ejennya yang berada di tempat itu. Benda yang disita boleh dikenakan pelucuthakan 22. Semua benda yang disita di bawah Akta ini boleh dilucuthakkan. Mahkamah hendaklah memerintahkan pelepasan atau pelucuthakan benda yang disita 23. (1) Suatu perintah bagi pelucuthakan atau pelepasan apa-apa benda yang disita hendaklah dibuat oleh mahkamah yang di hadapannya pendakwaan berkenaan dengannya telah diadakan tetapi mahkamah itu hendaklah memerintahkan pelucuthakan jika dibuktikan sehingga ia berpuas hati bahawa suatu kesalahan terhadap mana-mana peruntukan Akta ini atau mana-mana kaedah yang dibuat di bawahnya telah dilakukan dan bahawa benda itu ialah hal perkara bagi atau telah digunakan dalam melakukan kesalahan itu, walaupun tiada seorang pun telah disabitkan atas kesalahan itu. (2) Semua benda yang dilucuthakkan hendaklah diserahkan kepada Dato Bandar atau polis mengikut mana-mana yang berkenaan dan hendaklah dilupuskan mengikut arahan Dato Bandar atau polis. Benda yang disita yang berkenaan dengannya tiada pendakwaan disifatkan telah terlucut hak jika tidak dituntut dalam masa satu bulan 24. (1) Jika tiada pendakwaan berkenaan dengan apa-apa yang telah disita di bawah Akta ini, benda itu hendaklah diambil dan disifatkan telah terlucut hak apabila tamat tempoh satu bulan kalendar Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 19 dari tarikh penyitaannya melainkan jika suatu tuntutan telah dibuat baginya sebelum tarikh tersebut mengikut cara yang dinyatakan kemudian daripada ini. (1A) Semua benda yang disifatkan telah terlucut hak di bawah subseksyen (1), boleh dijual oleh Dato Bandar melalui lelongan awam dan hasil daripada penjualan itu hendaklah digunakan bagi pembayaran apa-apa fi yang terhutang oleh pemegang lesen mana-mana tempat hiburan yang dari tempat hiburan itu, benda-benda telah disita dan kos bagi lelongan itu, dan lebihannya, jika ada, hendaklah dibayarkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan. (2) Mana-mana orang yang menuntut bahawa dia adalah pemunya apa-apa jua yang disita di bawah Akta dan bahawa apa-apa jua yang disita itu tidak boleh dilucuthakkan bolehlah, sama ada sendiri atau melalui ejennya yang diberi kuasa secara bertulis, memberikan notis kepada Dato Bandar bahawa dia menuntut apa-apa yang disita itu. (3) Apabila Dato Bandar menerima notis di bawah subseksyen (2), dia boleh mengarahkan supaya benda itu dilepaskan atau supaya perkara itu dirujukkan kepada seorang Majistret. (4) Majistret hendaklah mengeluarkan saman menghendaki orang yang menuntut bahawa dialah pemunya benda yang disita dan orang yang daripadanya benda itu disita hadir dihadapannya, dan apabila mereka hadir atau ingkar hadir, setelah dibuktikan bahawa saman telah disampaikan dengan sewajarnya, Majistret hendaklah terus memeriksa perkara itu dan apabila terbukti sesuatu kesalahan telah dilakukan terhadap Akta ini atau mana-mana kaedah yang dibuat di bawahnya dan bahawa benda itu ialah hal perkara atau telah digunakan untuk melakukan kesalahan itu, hendaklah mengarahkan supaya benda itu dilucuthakkan atau, jika tiada bukti sedemikian, hendaklah mengarahkan supaya ia dilepaskan. 20 Undang-Undang Malaysia AKTA 493 Halangan 25. Mana-mana orang yang— (a) menghalang Dato Bandar, mana-mana pegawai polis, atau orang diberi kuasa yang dengan sah menjalankan apa-apa kuasa yang diberikan kepadanya oleh atau di bawah seksyen 16 untuk masuk atau memeriksa mana-mana tempat hiburan atau lengah mengemukakan apa-apa barang, buku, akaun, tiket, atau dokumen atau benda lain yang dia telah diminta mengemukakannya oleh Dato Bandar, pegawai polis, atau orang diberi kuasa itu dan yang dia berkuasa atau sepatutnya berkuasa, dalam perjalanan biasa urusan, mengemukakannya; (b) enggan memberikan apa-apa maklumat yang dia dikehendaki memberikannya oleh Dato Bandar, pegawai polis, atau orang diberi kuasa atau yang, apabila dikehendaki memberikan maklumat oleh Dato Bandar, pegawai polis, atau orang diberi kuasa, memberikan maklumat yang palsu atau yang menggelirukan; (c) menghalang penyitaan apa-apa dokumen atau apa-apa benda lain di bawah seksyen 21, atau penutupan mana-mana tempat hiburan di bawah seksyen 17; atau (d) menghalang atau menggalang Dato Bandar, mana-mana pegawai polis atau mana-mana orang diberi kuasa daripada menjalankan apa-apa kuasa lain yang diberikan oleh undang-undang kepadanya oleh atau di bawah Akta ini, adalah bersalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan, boleh dikenakan denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit tetapi tidak lebih daripada sepuluh ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 21 Liabiliti pengarah, dsb., 26. (1) Jika sesuatu kesalahan di bawah Akta ini telah dilakukan oleh suatu kumpulan orang yang diperbadankan atau tidak diperbadankan, maka mana-mana orang yang pada masa kesalahan itu dilakukan ialah seorang pengarah, pengurus, setiausaha, atau pegawai lain yang seumpamanya, bagi kumpulan orang itu, atau yang berupa sebagai bertindak atas sifat sedemikian, hendaklah disifatkan bersalah atas kesalahan itu melainkan jika dia membuktikan bahawa kesalahan itu telah dilakukan tanpa persetujuannya atau tanpa pembiarannya, dan bahawa dia telah menjalankan usaha untuk mencegah berlakunya kesalahan itu sebagaimana yang sepatutnya telah dijalankan olehnya memandangkan jenis fungsi atas sifat itu dan memandangkan semua hal keadaan. (2) Mana-mana orang yang tetap bersalah melakukan suatu kesalahan jika apa-apa jua telah dilakukan atau ditinggalkan olehnya sendiri adalah bersalah melakukan kesalahan itu dan boleh dikenakan penalti yang sama jika perkara itu telah dilakukan atau ditinggalkan oleh pekongsi, ejen, atau pekhidmatnya dalam perjalanan urusan perkongsian itu atau dalam perjalanan pekerjaannya, mengikut mana-mana yang berkenaan, melainkan jika dia membuktikan bahawa kesalahan itu telah dilakukan tanpa pengetahuannya atau persetujuannya dan bahawa dia telah mengambil segala langkah berjaga-jaga yang munasabah untuk mencegah perlakuan atau peninggalan perkara itu: Dengan syarat bahawa tiada apa-apa jua dalam seksyen ini boleh melepaskan pekongsi, ejen atau pekhidmat itu daripada dikenakan pendakwaan. Pendakwaan 27. Tiada Pendakwaan boleh dimulakan terhadap suatu kesalahan di bawah Akta ini atau mana-mana kaedah yang dibuat di bawahnya kecuali oleh atau dengan keizinan bertulis Pendakwa Raya. 22 Undang-Undang Malaysia AKTA 493 Pengkompaunan kesalahan 28. (1) Dato Bandar boleh, dengan keizinan bertulis Pendakwa Raya, mengkompaunkan apa-apa kesalahan yang dilakukan terhadap Akta ini dan mana-mana kaedah yang dibuat di bawahnya yang ditetapkan sebagai kesalahan yang boleh dikompaunkan dengan membuat suatu tawaran bertulis kepada orang yang semunasabahnya disyaki telah melakukan kesalahan itu untuk mengkompaunkan kesalahan itu dengan membayar kepada Dato Bandar sejumlah wang yang tidak melebihi jumlah maksimum denda yang dengannya kesalahan itu boleh dihukum dalam tempoh yang ditetapkan dalam tawaran itu. (2) Apabila bayaran di bawah subseksyen (1) diterima, tiada prosiding selanjutnya boleh diambil terhadap orang itu berkenaan dengan kesalahan itu dan apa-apa jua yang disita berkaitan dengan kesalahan itu hendaklah dilepaskan, tertakluk kepada apa-apa terma dan syarat yang dikenakan. (3) Apa-apa wang yang di bayar kepada Dato Bandar menurut peruntukan-peruntukan seksyen ini hendaklah dibayar masuk ke dalam dan menjadi sebahagian daripada wang kumpulan yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang berhubungan dengan kerajaan tempatan. Penalti am 29. Mana-mana orang yang bersalah melakukan suatu kesalahan terhadap Akta ini atau mana-mana kaedah di bawahnya yang baginya tiada penalti diperuntukkan dengan nyata boleh, apabila disabitkan, dikenakan denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit tetapi tidak lebih daripada dua puluh ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 23 Bidang kuasa mahkamah Majistret Kelas Pertama 29A. Walau apa pun apa-apa jua yang terkandung dalam mana-mana undang-undang bertulis yang berlawanan, mahkamah Majistret Kelas Pertama hendaklah mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan apa-apa kesalahan di bawah Akta ini dan boleh menjatuhkan hukuman penuh bagi mana-mana kesalahan sedemikian. Kuasa untuk membuat kaedah-kaedah 30. Menteri boleh membuat kaedah-kaedah untuk menetapkan apa-apa jua yang dikehendaki oleh Akta ini supaya ditetapkan dan bagi melaksanakan peruntukan-peruntukan Akta ini dengan lebih baik dan, tanpa menjejaskan keluasan makna seksyen ini, kaedah-kaedah itu boleh— (a) menetapkan apa-apa fi yang perlu bagi maksud Akta ini; (b) menetapkan borang bagi permohonan lesen dan lesen yang akan dikeluarkan di bawah Akta ini; (c) menetapkan jenis kesalahan yang boleh dikompaunkan dan tatacara bagi mengkompaun kesalahan itu; (d) menetapkan hiburan atau kelas hiburan atau tempat hiburan atau kelas tempat hiburan yang dikecualikan daripada mana-mana peruntukan Akta ini; dan (e) mengadakan peruntukan bagi pengawalan dan pemeriksaan tempat hiburan. Pemansuhan dan kecualian 31. Akta Panggung dan Tempat Hiburan Awam (Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 182] adalah dengan ini dimansuhkan: Dengan syarat bahawa— 24 Undang-Undang Malaysia AKTA 493 (a) tiada apa-apa jua yang terkandung dalam Akta ini boleh menyentuh liabiliti mana-mana orang untuk didakwa atau dihukum bagi kesalahan yang dilakukan, sebelum mula berkuat kuasanya Akta ini, di bawah Akta yang dimansuhkan; (b) apa-apa prosiding yang belum diputuskan sebelum mula berkuat kuasanya Akta ini hendaklah diteruskan di bawah undang-undang yang dimansuhkan seolah-olah Akta ini tidak dibuat; (c) lesen yang telah dikeluarkan di bawah Akta yang dimansuhkan hendaklah terus berkuat kuasa dan mempunyai kuat kuasa seolah-olah ia telah diberikan di bawah Akta ini dan boleh dibatalkan di bawah Akta ini; dan (d) pelantikan atau pemberikuasaan yang dibuat di bawah Akta yang dimansuhkan hendaklah terus berkuat kuasa dan mempunyai kuat kuasa seolah-olah ia dibuat di bawah Akta ini, sehingga dibatalkan atau digantikan di bawah Akta ini. 25 UNDANG-UNDANG MALAYSIA Akta 493 AKTA HIBURAN (WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR) 1992 SENARAI PINDAAN Undang-undang Tajuk ringkas Berkuat kuasa yang meminda dari P.U. (A) 110/2003 Perintah Penyemakan Undang-Undang 18-04-2003 (Pembetulan Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992) 2003 Akta A1194 Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan 01-04-2004 Kuala Lumpur) (Pindaan) 2003 P.U. (A) 395/2010 Perintah Wilayah Persekutuan Labuan 01-01-2011 (Pemerluasan dan Ubah Suaian Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992) 2010 _____________ 26 UNDANG-UNDANG MALAYSIA Akta 493 AKTA HIBURAN (WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR) 1992 SENARAI SEKSYEN YANG DIPINDA Seksyen Kuasa meminda Berkuat kuasa dari 4 Akta A1194 01-04-2004 9A Akta A1194 01-04-2004 13 Akta A1194 01-04-2004 14 Akta A1194 01-04-2004 14A Akta A1194 01-04-2004 16 Akta A1194 01-04-2004 24 Akta A1194 01-04-2004 25 Akta A1194 01-04-2004 27 Akta A1194 01-04-2004 28 Akta A1194 01-04-2004 29 Akta A1194 01-04-2004 29A Akta A1194 01-04-2004 ___________
Provision text is displayed from LexChat’s stored statute record. Use the official source links to verify amendments, commencement, and current legal force.
Ask AI about this statute
493 - *AKTA HIBURAN (WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR) 1992
Sign in to ask AI about this statute
Sign in to start authenticated, citation-grounded statute research.
Sign in